Kenapa Rodney Celvin Gagal Ulangi Prestasi Cemerlang Seperti Musim Lalu?

Seperti diketahui ramai, Rodney Celvin Akwensivie merupakan salah seorang tonggak pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) sejak musim lalu dan diberi harapan tinggi dalam segelintir penyokong Sang Kenari.

Ini kerana pada musim lalu, Rodney berjaya mempamerkan aksi yang sangat baik bersama KDA di posisi pertahanan tengah dan menyaksikan pemain itu terus kekal bersama pasukan tersebut.

Sebelum itu, Rodney merupakan pemain pinjaman daripada Selangor pada musim lalu dan KDA bertindak untuk terus mengekalkan beliau selepas menebus kontrak daripada kelab lamanya.

Namun pada musim ini, segalanya tampak tidak begitu berjalan lancar apabila Rodney jelas dilihat mempunyai penurunan daripada segi prestasi dalam setiap perlawanan dihadapi.

Ada pelbagai faktor yang dibincangkan dalam media sosial untuk menentukan faktor mengapa Rodney gagal beri impak positif bersama KDA musim ini.

Faktor prestasi semasa KDA

Daripada ramai yang mengharapkan pemain bertubuh tegap ini mendapat panggilan skuad kebangsaan, sehingga ia dilihat semakin samar-samar untuk dipanggil menjalani kem latihan pusat.

Jika hendak disalahkan Rodney sahaja, ianya tidak adil apabila perkara ini dilihat turut merangkumi keadaan semasa KDA yang tidak konsisten.

KDA musim ini menamatkan cabaran liga untuk berada di kedudukan kelapan serta menjadi antara pasukan paling banyak dibolosi.

Isu pertahanan KDA musim ini antara paling banyak diperkatakan, apabila ia jelas agak merosot berbanding tahun-tahun sebelum itu.

Isu prestasi KDA mula dinaikkan selepas pasukan tersebut tewas di tangan Selangor dengan jumlah bolos agak besar sewaktu pusingan pertama saingan Liga Super tahun ini.

Persefahaman sesama pemain

Bekas jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak pernah mengakui faktor mereka gagal untuk tampil lebih baik berbanding tahun lalu, salah satunya kerana persefahaman antara pemain.

KDA telah pun merombak ramai pemain pada awal musim ini dengan mereka kehilangan duo serangan berbisa iaiti Tchetche Kipre dan Kpah Sherman.

Selain itu, KDA juga telah mendapatkan pertahanan baharu untuk digandingkan bersama Rodney iaitu Jang Suk-won serta Marc Vales.

Isu persefahaman ini agak ketara, apabila mereka kadangkala begitu mudah dieksploitasi oleh serangan pasukan lawan serta organisasi yang sangat lemah dipamerkan dalam sesetengah perlawanan.

Selain itu, faktor kecederaan juga menjadi salah satu sebab mengapa persefahaman membabitkan Rodney bersama pasangannya tidak seperti diharapkan.

Impak positif Akmal Zahir

Kehadiran bekas pertahanan kental Melaka United iaitu Akmal Zahir jelas menjadi salah satu faktor mengapa Rodney Celvin kerap disisihkan musim ini.

Akmal yang hadir pada pertengahan musim tidak mengambil masa yang lama untuk membentuk gandingan lebih baik bersama Marc Vales di bahagian pertahanan tengah.

Faktor konsistensi Akmal jelas menjadi salah satu sebab mengapa Rodney sering tersisih di bangku simpanan, terutama pada beberapa perlawanan terakhir Liga Super.

Kesimpulan

Ini bukan berkisarkan kepada prestasi individu Rodney, tetapi disebabkan beberapa situasi meletakkan pemain ini agak sunyi dan jarang disebut dalam kalangan penyokong.

Malah, faktor KDA sendiri yang agak teruk secara keseluruhan musim ini turut meletakkan Rodney tidak ‘popular’ untuk dipanggil oleh Kim Pan-gon bagi menyertai skuad kebangsaan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN