Penang dilaporkan bakal menjadi pasukan seterusnya yang hanya menggunakan sedikit kuota pemain import untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Terdahulu, Astro Arena melaporkan Penang bakal menggunakan hanya tiga pemain import untuk saingan akan datang, selepas Terengganu turut mengumumkan perkara sama sebelum ini.
Tiga pemain import tersebut menyaksikan ia bakal menjadi suatu cabaran getir sebenarnya buat The Black Panthers untuk memberi persaingan terbaik sepanjang saingan tersebut berlangsung musim depan.
Apatah lagi, pengendali mereka Akmal Rizal Ahmad Rakhli juga pastinya memerlukan pemain import yang betul-betul berkualiti untuk memastikan mereka dapat memberikan persembahan semaksimum mungkin di atas padang.
Ketika ini, laporan menyatakan hanya Rafael Vitor mengesahkan diri akan kekal bersama Penang dengan selaku pemain import buat pasukan tersebut.
Ini bermakna posisi pertahanan import pasukan tersebut sudah pun diisi Penang untuk mengharungi saingan hadapan.
Untuk dua lagi kuota pemain, dijangka Penang mungkin akan menampilkan seorang di posisi tengah serta satu lagi selaku penyerang utama mereka untuk melengkapkan tiga pemain.
Mark Herold Goulon boleh dianggap sebagai calon terbaik sebenarnya buat Penang untuk mengisi salah satu kekosongan slot pemain import mereka pada saingan hadapan.
Goulon yang sah dilepaskan oleh Negeri Sembilan sebelum itu dilihat masih belum menyertai mana-mana kelab dan pemain tersebut mempunyai potensi terbaik untuk membantu Penang.
Salah satu faktor kenapa Goulon sesuai ditandatangani Penang pastinya terarah kepada pengalaman beliau yang sudah pun terbiasa beraksi dalam saingan Liga M di Malaysia.
Bukan sahaja menyerlah bersama Sri Pahang, malah dua musim sebelum itu menyaksikan Goulon mempamerkan kualiti permainan menyakinkan buat Negeri Sembilan.
Satu lagi faktor Goulon dianggap sebagai calon sesuai buat Penang ialah beliau merupakan pemain import yang sangat ‘versatile’ di atas padang dan mampu beraksi di beberapa posisi mengikut kesesuaian taktikal.
Selain dominan selaku pertahanan, Goulon juga memiliki kesesuaian untuk beraksi selaku pemain tengah bertahan serta menjadi perancang utama buat pasukan.
Kelebihan Goulon daripada segi kreativiti membuat hantaran serta kekuatan fizikal beliau untuk mematikan ancaman lawan sudah pun dibuktikan sejak beberapa musim lalu.
Melihat kepada terhadnya slot import Penang musim hadapan, kehadiran Goulon sekurangnya mampu untuk menampung mana-mana kelemahan posisi pasukan tersebut jika dilihat pada kualiti pemain dari Perancis itu.