Tidak dapat dipastikan mengapa bek kanan, Syahmi Safari diletakkan di posisi bek kiri ketika skuad Harimau Malaya menundukkan Kemboja 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala AFF Suzuki 2020, baru-baru ini.
Saat semua pemerhati, media dan penyokong berkira-kira di antara dua Arif iaitu Ariff Farhan Md Isa atau Arif Fadzilah yang akan mengemudi bek kiri skuad negara, secara tiba-tiba Syahmi Safari pula yang diletakkan.
Jelas mengejutkan, namun tampaknya ia berbaloi. Bek kiri ‘sandaran’ yang baru dilepaskan oleh Selangor FC itu mempamerkan prestasi yang baik sepanjang 90 minit beraksi dan dinobat sebagai pemain paling bertenaga untuk perlawanan Malaysia bertemu Kemboja itu – pemain terbanyak membuat sentuhan bola di padang.
The most touches of any 🇲🇾 player tonight 👏
Your ⚡️#FujiElectric Most Energetic Player is Syahmi Safari! #AFFSuzukiCup2020 | #RivalriesNeverDie | #CAMvMAS pic.twitter.com/FaBHlznXof
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 6, 2021
Menariknya, beliau memiliki peratus tackles successful yang tinggi iaitu sebanyak 80 peratus dengan berjaya membuat dua pintasan, tiga clearances dan empat kali menang perebutan bola. Beliau juga merupakan yang kedua tertinggi dalam membuat successful passes iaitu 31, hanya kurang satu berbanding Baddrol Bakhtiar.
Ini menunjukkan keberkesanan beliau berfungsi di bek kiri walaupun beliau bukanlah tonggak utama di posisi tersebut. Namun, sebenarnya, sejak Jun lalu beliau telah cuba diberikan peranan tersebut oleh Tan Cheng Hoe.
Ketika itu Malaysia akan turun beraksi tanpa Corbin Ong yang akan menjalani penggantungan perlawanan. Malaysia berdepan Thailand dalam aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan beliau tampil dengan baik bergandingan bersama Aidil Zafuan, Dion Cools dan Matt Davies di bahagian pertahanan.
Sebagai pemain yang dilihat serba boleh, Syahmi Safari juga pernah beraksi di bahagian sayap kanan dan juga kiri. Jadi untuk menjadi bek kiri, mungkin tiada masalah buat pemain berusia 23 tahun itu. Pada 2018, beliau telah diturunkan sebagai pemain sayap kiri dalam aksi Piala FA berdepan MOF FC dan ini komennya.
“Posisi sebenar saya [adalah] sayap kanan, namun terpulang kepada jurulatih untuk meletakkan saya sama ada di barisan pertahanan ataupun jentera serangan,” ujarnya sambil menegaskan kekuatannya adalah di sebelah kanan di mana beliau berkemampuan meledak jaringan jika diberikan lebih ruang di ketiga-tiga posisi itu.
Gol Syahmi Safari dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 pada 5 Disember 2018 lalu akan dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2019 setelah FAM hari ini mencapai persetujuan untuk mencadangkan gol tersebut. pic.twitter.com/E63nCZ69GF
— Selangor FC (@selangorfc) March 6, 2019
Masih ingat jaringannya dalam saingan Piala AFF 2018? Rembatan dan gol cantik dari luar kotak penalti itu menyaksikan mereka berjaya menewaskan Thailand pada separuh akhir kedua dengan agregat 2-2, menang melalui kelebihan jaringan di tempat lawan. Gol itu membangkitkan Harimau Malaya daripada ketinggalan.
Pada Jun lalu, Syahmi Safari berkata, “Rasanya peranan di posisi pertahanan kiri dan kanan sama sahaja, hanya kedudukan berbeza. Jadi, kadang-kadang dalam sesetengah situasi kita akan rasa sedikit kekok. Tapi kebelakangan ini saya banyak menjalani latihan di bahagian bek kiri.” Jadi, memang beliau sudah dilatih.
Oleh itu, jika fokusnya adalah untuk terus diberikan di posisi bek kiri, jelas tiada masalah dengan apa yang telah beliau berikan. Jika Akhyar Rashid tidak dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan tempohari, mungkin beliau juga layak untuk dipilih. Namun, soalnya, agaknya apa peranan Ariff Farhan dan Arif Fadzilah selepas ini?