Kenapa Kedah Mula Nikmati Aksi Terbaik Rabih Ataya?

Rabih Ataya Kedah Terengganu Liga Super 2021

Sejak akhir-akhir ini, Rabih Ataya sudah mulai mempamerkan sisi lain permainannya dan daripada kritikan, kini penyokong Kedah sudah mulai untuk menikmati aksinya.

Selepas lima aksi tertangguh angkara COVID-19 dalam kem Kedah Darul Aman FC pada hujung Julai lalu, mereka sudah mula bermain pada 13 Ogos lalu dan telah beraksi dalam tiga perlawanan. Mereka menang dua daripada tiga perlawanan itu.

Bermula dengan langkah kiri, tewas 2-4 kepada Selangor, Kedah bangkit tewaskan seteru Utara mereka, Penang FC dengan keputusan besar 4-1 sebelum menang pula ke atas pencabar terdekat mereka, Terengganu FC 2-1, pada aksi hujung minggu lalu.

Mereka dalam misi untuk meraih semaksimum mata yang mungkin bagi memintas kedudukan Terengganu FC di tangga kedua Liga Super. Berbekalkan tiga aksi yang kurang berbanding majoriti pasukan lain, Kedah harus konsisten mengutip tiga mata.

Apa yang perlu mereka korbankan ketika ini adalah tempoh rehat kerana mereka akan melalui jadual yang maha padat berbanding pasukan-pasukan yang ada masa rehat.

Jika Kedah perlu beraksi di tengah dan hujung minggu, majoriti pasukan lain, hanya akan turun bermain di hujung minggu kecuali yang berdepan Kedah di tengah minggu.

Di saat penting ini, prestasi pemain import, Rabih Ataya mula mencuri tumpuan. Jika sebelum ini, ramai yang berkata beliau mungkin perlu dilepaskan, kini beliau sudah mula disayangi. Dalam tiga penampilan terkini, Rabih Ataya pamer watak sebenarnya.

Dalam aksi berdepan Terengganu baru-baru ini, segalanya makin indah buat pemain skuad kebangsaan Lubnan itu apabila meledak jaringan pertamanya bersama Kedah selepas 1129 minit permainan atau 16 penampilannya bersama skuad Hijau Kuning.

Ia bukanlah satu gol yang menarik tetapi ia sudah cukup untuk menyuntik moral dan semangatnya yang seringkali dilempar kritikan atas prestasi hambarnya sebelum ini.

Bermula dengan gerakan antara Kpah Sherman dan Syazwan Zainon, Rabih Ataya mengejutkan semua apabila menyambung bola yang sedikit jauh daripada kaki Kpah Sherman di depan gawang gol untuk menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Jika beliau membiarkan bola tersebut, sudah pasti gol tersebut akan menjadi milik penyerang sensasi, Kpah Sherman, itupun jika penyerang itu memanfaatkannya. Tetapi, tanpa mengambil masa yang lama, Rabih Ataya terus merembatnya.

Ia melengkapkan tiga aksi baiknya apabila Kedah kembali beraksi selepas rehat hampir tiga bulan. Kenapa Rabih Ataya kembali menjadi dalam tiga aksinya ketika ini?

Sebelum ini, Semuanya BOLA pernah mengulas isu prestasinya dengan persoalan, adakah Rabih Ataya tidak cukup ‘baguih’ untuk Kedah? Dan kami menutup artikel itu dengan persoalan masih ada sisa kesabaran penantian penyokong Kedah dengannya?

Ini kerana, berbeza dengan permainannya di UiTM FC pada musim lalu, pengendali Kedah, Aidil Sharin menagih kudratnya di tengah. Beliau merupakan pemain yang lebih menyerlah di sebelah sisi kanan sebagaimana aksinya bersama UiTM FC dan Lubnan.

Rabih Ataya Tak Cukup ‘Baguih’ Untuk Kedah Setakat Ini?

Aidil Sharin lebih mengetahui mengapa beliau telah meletakkan percaturan sebegitu walaupun ramai menjangkakan ketika beliau disahkan menyertai Kedah, gandingan tiga serangkai Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Rabih Ataya sebagai penggempur.

Beliau tampak lebih selesa bergerak di posisi asalnya berbanding di tengah. Mungkin ‘mood’nya lebih baik jika bermain di posisi terbaiknya. Kita boleh lihat acapkali pasukan lawan bergelut untuk membendung asakan dan gerakannya di sebelah kanan.

Dalam tiga aksi setakat ini, Aidil Sharin meletakkan Rabih Ataya di posisi sayap kanan, sementara Syazwan Zainon menggerakan sayap kiri. Kipre Tchetche pula di posisi terbaiknya, berperanan sebagai penyerang kedua di belakang Kpah Sherman.

Ini kunci keberkesanan Kedah dalam dua aksi berdepan Penang FC dan Terengganu. Adakah formasi taktikal ini akan dikekalkan? Jadi, bagaimana pula nasib PJ City yang telah tewas empat perlawanan berturut-turut berdepan Kedah malam ini?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN