Legenda penjaga gol negara, Khairul Azman Mohamed mendedahkan bahawa peluang mewakili Malaysia dalam saingan Piala Dunia Futsal 1996 di Sepanyol adalah antara kenangan yang akan sentiasa bermain di fikirannya.
Pasukan negara melayakkan diri ke pusingan akhir saingan futsal paling berprestij yang berlangsung di Segovia itu setelah berjaya melepasi peringkat kelayakan apabila menundukkan Filipina 13-3 dan seri 7-7 ketika menentang Brunei.
Dengan sukan futsal begitu asing dalam kalangan rakyat Malaysia pada ketika itu, sudah pastilah tiada harapan tinggi diletakkan terhadap skuad yang mendapat bimbingan pengendali kelahiran Belanda, Victor Hermans sambil dibantu Irfan Bakti Abu Salim.
Apatah lagi 12 pemain yang terpilih membawa cabaran negara ke Sepanyol itu juga adalah pemain-pemain bola sepak yang sudah tentunya berdepan kesukaran untuk menyaingi pemain-pemain futsal tulen dari Amerika Syarikat, Itali dan Uruguay.
”Memang amat janggal pada ketika itu, selepas berbelas tahun kami bermain bola sepak dan tiba-tiba sahaja kena beraksi dalam futsal yang memang agak asing buat kami semua.”
”Sejujurnya hanya pengalaman sebagai pemain bola sepak yang kami bawa ketika itu di Segovia. Kami hanya menjalani latihan pusat selama sebulan dan 10 hari berada di Belanda sebelum ke Sepanyol,” ujar Khairul Azman ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA.
Dalam pada itu, Khairul Azman turut berkongsikan antara cabaran yang dihadapi ketika bersama skuad futsal negara bagi menghadapi Piala Dunia edisi ketiga itu.
”Selain hanya terdiri daripada pemain bola sepak, persiapan kami juga hanya sebulan dan terpaksa berdepan dengan pasukan-pasukan yang sudah mempersiapkan diri lebih setahun. Itu memang cabaran yang cukup besar buat pasukan negara.”
”Kami juga perlu pasukan yang berkualiti seperti Amerika Syarikat (naib juara Piala Dunia 1992), Itali dan Uruguay serta beraksi pula dalam keadaan cuaca dingin kerana pada masa itu musim sejuk di Eropah.”
”Bagaimanapun kami memperoleh pengalaman yang cukup berguna dan amat berbeza (unik) berbanding kebiasaan dalam bola sepak.”
”Ini adalah antara kenangan yang saya tidak akan dapat lupakan. Kami menjadi ‘batch’ pertama yang layak ke Piala Dunia Futsal walaupun bukanlah pemain futsal sebenar.”
”Tetapi tidak sangka juga lepas daripada kejohanan tersebut, futsal sudah mula bertapak dan meletup di tanah air sehingga ke hari ini.”
”Pulang sahaja dari Sepanyol, kami memerlukan seminggu untuk kembali mengubah rentak kerana perlu beraksi dalam saingan suku akhir Piala Malaysia 1996. Saya perlu beraksi pada perlawanan akhir menentang Selangor.”
Aksi di Segovia itu menyaksikan skuad negara tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan selepas tunduk 1-10 ditangan Itali, disusuli kekalahan 1-4 ketika bertemu Uruguay dan tewas 2-10 pada perlawanan pelengkap jadual bertemu Amerika Syarikat.
Pendapat Khairul Azman mengenai futsal
Khairul Azman yang kini berusia 52 tahun tidak menolak pendapat bahawa futsal mampu untuk melahirkan pemain bola sepak berkualiti.
”Pemain bertaraf dunia juga lahirnya daripada sukan futsal ini. Pemain futsal dengan teknik yang baik mampu untuk menjadi pemain bola sepak berkualiti.”
”Saya sarankan kepada pemain futsal untuk menjinakkan diri ke bola sepak kerana teknik dalam futsal itu boleh diimplementasikan dalam bola sepak.”
”Futsal di Malaysia juga sangat berkembang atas inisiatif daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila banyak mewujudkan kursus kejurulatihan futsal serta liga profesional yang diperkenalkan ketika ini,” ujar Khairul Azman Mohamed lagi.
Kredit foto: FIFA