Kenali Teknologi ‘Brain Sensor’ Yang Menjadi Bukti Ketelitian Liverpool Dalam Memburu Kejuaraan

Real Madrid pasti tidak mahu mengheret perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) menentang Liverpool pada hujung minggu ini diheret ke penentuan sepakan penalti pada hujung minggu ini.

Tanggapan tersebut adalah berdasarkan persiapan ‘luar biasa’ Liverpool sepanjang musim ini yang menjadikan mereka pakar di dalam situasi bola mati, termasuk ketika menyempurnakan sepakan penalti.

Dua perlawanan akhir – Carabao Cup dan FA Cup – yang dimenangi Liverpool melalui penentuan sepakan penalti bukanlah satu kebetulan.

Keadaan mental optimal

Bagi Jurgen Klopp kejayaan menewaskan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti di perlawanan akhir Carabao Cup pada Februati lalu adalah ‘salah satu perlawanan yang ditentukan melalui kaedah tersebut secara spektakular’ pernah disaksikannya.

Ia menjadi lebih manis kerana usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh pasukan sepanjang musim untuk melakukannya.

https://twitter.com/henryagyepong71/status/1529446388232093698

Sepakan penalti bukanlah ‘rangka utama’ di dalam bola sepak. Tetapi kita tidak boleh nafikan ia adalah sebahagian daripada bola sepak – untuk membezakan pasukan yang menang atau kalah.

Selepas Liverpool berjaya merangkul kejuaraan FA Cup pada 14 Mei lalu, Klopp yakin pakar sains neuro dari Jerman telah memainkan peranan penting untuk Liverpool menyempurnakan semua 11 sepakan.

Hal ini0 bermaksud, pemain-pemain Liverpool berada pada tahap mental optimal untuk menyempurnakan tugasan masing-masing.

Dr Niklas Hausler dan Patrick Hanstschke adalah dua pengasas Neuro11, syarikat dan individu yang menjalin kerjasama dengan kelab Merseyside itu sejak latihan pra-musim pasukan di Perancis pada musim lalu dan sepanjang kempen Liverpool pada musim ini.

Sempurnakan situasi bola mati

Pada musim panas lalu, tugas utama Dr Niklas Hausler dan Patrick Hanstschke ialah untuk memasang alat elektord di kepala pemain bagi mengumpul data.

Pada mulanya, projek tersebut tertumpu kepada dua pemain pakar situasi bola mati seperti Trent Alexander-Arnold dan Mohamed Salah.

Pengumpulan data kemudiannya diperluaskan kepada setiap anggota pasukan skuad Liverpool tatkala musim 2021/22 semakin rancak.

https://twitter.com/AnfieldWatch/status/1498926020157747203

Hausler dan Hantschke turut hadir bersama staf kejurulatihan Liverpool dalam beberapa perlawanan termasuk di Wembley dan terlibat secara langsung dengan sesi latihan pasukan itu.

Menjelang perlawanan akhir FA Cup pada 14 Mei lalu, Klopp berkata: “Sejak beberapa minggu lalu, setiap pemain melalui latihan psikologi untuk mengambil penalti.

“Penghargaan harus diberikan kepada pemain dan pihak Neuro11 atas kerja baik yang mereka lakukan terhadap pemain.”

Selain daripada sepakan penalti, Liverpool juga kini telah menjadi pakar situasi bola mati sejak menjalin kerjasama bersama Neuro11.

Pasukan itu setakat ini berjaya menjaringkan 15 gol daripada situasi bola mati di Premier League dan lima lagi di UCL.

Sebagai perbandingan, Liverpool hanya mampu menghasilkan 13 gol daripada dua pertandingan tersebut pada musim lalu.

Teknologi sains neuro

Teknologi sains neuro dalam bola sepak adalah perkara baharu bagi sukan ini.

Untuk rekod, Liverpool adalah antara kelab pertama yang memanfaatkan teknologi tersebut pada hari ini.

Hausler ketika bercakap kepada The Athletic pada awal musim menjelaskan bagaimana teknologi tersebut boleh membantu pemain ‘mengawal otak mereka ketika saat yang amat memerlukan’, terutama ketika menghadapi tekanan dan keletihan saat menghadapi perlawanan.

“Setiap manusia mempunyai keadaan otak (brain states) yang berbeza. Adakala ia lebih tenang, adakalanya gelisah.

“Kajian pula menunjukkan situasi terlampau tenang dan terlebih gelisah akan menjejaskan prestasi optima pemain, dan pemain tidak berada di kawasan yang kita panggil ‘berada di zon sepatutnya’.

“Apabila pemain mampu beraksi di tahap terbaik, ini adalah kerana mereka membenarkan output motor berlaku secara automatik. Anda tidak perlu memikirkannya, ia berlaku spontan.

“Apa yang kami lakukan adalah untuk membantu pemain melalui prosess pengubahsuaian untuk mereka memiliki keadaan otak dalam zon sepatutnya.

“Kami cuba melakukan pengubahsuaian sehingga sempurna. Pemain sememangnya sudah tahu situasi mental yang diperlukan, di mana mereka perlu fokus dan ideanya ialah supaya mereka tidak lari daripada arah sepatutnya.

“Anda boleh berada di dalam situasi tekanan melampau, tetapi anda juga boleh memberikan pemain bantuan untuk persiapkan diri untuk berhadapan situasi tersebut.

“Tugas kami ialah untuk menghulurkan bantuan tersebut, jadi apabila ada sepakan penalti, pemain mampu menapis gangguan tidak sepatunya di sekeliling mereka, dan tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk menjaringkan gol.”

Hasil diraih Liverpool

Pemain yang paling tidak menjangka dirinya perlu mengambil sepakan penalti ketika perlawanan akhir Carabao Cup pada Februari lalu semestinya adalah penjaga gol, Caoimhín Kelleher.

Sepakan terakhir Liverpool di dalam perlawanan tersebut tenang disempurnakan Kelleher untuk memberikan kejuaraan pertama dimiliki kelab Merseyside itu pada musim ini.

Ketika sesi latihan terakhir di Kirkby pada petang Sabtu sebelum final, jurulatih penjaga gol, John Achterberg sempat mengarahkan penjaga gol itu berlatih sepakan penalti, dan Kelleher berjaya menewaskan Adrian.

“Saya beritahu kepada Kelleher untuk berlatih sepakan penalti kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi ia lebih kepada gurauan dan bukan serius,” dedah Achterberg kepada The Athletic pada Februari lalu.

“Saya tidak memikirkan beliau terpaksa mengambil sepakan penalti di hadapan 85,000 penyokong di bawah tekanan, tetapi beliau dengan tenang dan cemerlang telah menyempurnakannya.”

Sepanjang 120 minit perlawanan yang berlanjutan pada masa tambahan itu, Kelleher menampilkan beberapa aksi menyelamat luar biasa untuk membayar kepercayaan yang diberikan Klopp menurunkannya di dalam kesebelasan utama.

Keputusan Klopp menidakkan Alisson dan mendahulukan Kelleher di dalam kesebelasan utama pasukan telah menjadi antara topik perdebatan menjelang perlawanan tersebut.

“Kita semua telah melihat Kelleher beraksi dengan baik dan tidak mengecewakan dalam perlawanan tersebut,” tambah Achterberg.

“Beliau selayaknya diberikan peluang untuk perlawanan besar sedemikian. Ramai meraguinya sebelum perlawanan, dan beliau juga berkemungkinan akan dikritik. Anda tidak akan tahu bagaimana ia akan berhasil, tetapi ia sentiasa keputusan yang tepat.

“Kami [di Liverpool] sentiasa gembira dengan prestasi penjaga gol utama, kedua dan ketiga di kelab ini. Apa yang membanggakan ketiga-tiganya memainkan peranan penting memastikan kejuaraan milik kelab.

“Alisson turut beraksi cemerlang di separuh akhir pertama menentang Arsenal. Adrian menyelamatkan gawang dua kali ketika menentang Preston North End. Kelleher pula menyelamatkan penalti ketika berhadapan Leicester City.”

Bukti ketelitian buru piala

Menggunakan teknologi ‘brain sensor’ yang dibangunkan oleh Neuro11, Liverpool sebenarnya bukan setakat berjaya menghasilkan pakar bola mati seperti Salah dan Alexander-Arnold.

Malah mereka juga mampu memberikan kelebihan kepada penjaga gol yang memiliki persiapan mental terbaik ketika perlawanan.

Lebih daripada itu, teknologi tersebut mampu membina kekuatan mental secara keseluruhan pasukan sepanjang tempoh perlawanan – memastikan pemain sentiasa fokus kepada taktikal, dan sedar apa yang perlu mereka lakukan untuk memenangi perlawanan.

Bayangkan sekiranya teknologi sama digunakan pada musim 2017/18. Mungkinkah kekuatan mental pemain pada ketika itu berbeza walaupun hilang khidmat Salah akibat kecederaan? Siapa tahu apa yang mampu dilakukan oleh Liverpool kali ini?

Satu perkara yang pasti, skuad Liverpool yang akan berhadapan Real sekali lagi pada hujung minggu ini akan tampil dengan kekuatan mental berbeza berbanding ketika final empat tahun lalu itu.

Teknologi ‘Brain Sensor’ telah menjadi bukti ketelitian Liverpool dalam memburu kejuaraan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN