Quantcast

LIGA MALAYSIA

Kenali Prospek Muda Montenegro Bujang Senang, Milos Raickovic Rai

Penyokong Bujang Senang pasti teruja dengan perkhabaran dari Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang mengesahkan Milos Raickovic Rai menyertai skuad bimbingan David Usop.

Kami di Semuanya BOLA amat bertuah kerana diberikan peluang untuk berhubung terus dengan Milos Raickovic untuk satu temu ramah ringkas.

Bintang Negara Balkan

Milos Raickovic Rai dilahirkan pada 2 December 1993. Nama beliau mungkin belum sebaris bintang Atletico Madrid, Stefan Savic atau Steven Jovetic di Sevilla.

Namun begitu keupayaan bekas pemain tengah FK Buducnost Podgorica ini wajar kita perhatikan dan ikuti.

Kredit: Instagram Milos Raickovic Rai

Bukan sesuatu yang asing untuk melihat pemain dari negara Balkan hadir ke Malaysia untuk mengembangkan karier bola sepak masing-masing.

Pemain tengah Albania, Liridon Krasniqi misalnya baharu sahaja menjulang Piala FA 2017 bersama pasukan Kedah F.A.

Ilija Spasojevic kini bersama Melaka United, Ivan Ziga, Tibor Szaban dan ramai lagi adalah antara bintang dari negara Balkan yang hadir ke Malaysia untuk mencipta nama.

Karier Milos Rajkovic

Milos Raickovic adalah produk kelab FK Buducnost Podgorica. Beliau menandatangani kontrak profesional bersama kelab berkenaan pada tahun 2012, pada usia 18 tahun.

Sepanjang bersama FK Buducnost Podgorica, beliau telah tampil sebanyak 112 kali dalam semua pertandingan.

Ini termasuklah aksi di Liga Divisyen 1 Montenegro, Piala Montenegro dan juga aksi di pentas Eropah, UEFA Europa League (UEL).

Milos Raickovic (No.19) ketika aksi Liga Divisyen 1 Montenegro.

Sebagai naib juara Liga Divisyen 1 Montenegro musim sebelumnya, kelab FK Buducnost Podgorica layak untuk mengikuti pertandingan UEL melalui pusingan kelayakkan.

Pada musim panas yang lalu, Milos Raickovic beraksi dalam kesemua 8 perlawanan kelayakkan dan menjaringkan 2 gol.

Gol yang dijaringkan oleh beliau ketika menang 2-0 menentang wakil Belgium K.R.C Genk, tidak cukup untuk membawa FK Buducnost Podgorica mara ke pusingan seterusnya.

Milos dan FK Buducnost Podgorica terpasksa akur apabila tewas melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua buah kelab terikat 2-2 secara agregat.

Pada usia 23 tahun, Milos Raickovic juga telah menjulang 2 kejuaraan utama bersama gergasi bola sepak Montenegro itu.

Kejuaraan pertama hadir pada tahun 2013, pada usia 19 tahun apabila beliau membantu pasukannya muncul sebagai juara Piala Montenegro.

Pada musim 2016-2017, Milos melakukan 28 penampilan liga untuk membantu FK Buducnost Podgorica merangkul kejuaraan Liga Divisyen 1 Montenegro.

Milos turut muncul sebagai naib juara Liga Divisyen 1 Montenegro pada musim 2015-2016 dan 2012-2013 bersama FK Buducnost Podgorica.

Karier Antarabangsa

Milos Raickovic belum lagi pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Montenegro yang kini di bawah kendalian Liubisa Tumbakovic.

Bagaimanapun, beliau telah membuat penampilan sebagai pemain kebangsaan Montenegro di semua peringkat umur. Beliau telah tampil sebanyak 27 kali sebagai pemain Montenegro Bawah-17, Bawah-19, dan juga Bawah-21 tahun, kebanyakkannya dalam aksi kelayakkan kejohanan Eropah.

Sepertimana pemain profesional yang lain, Milos Raickovic turut memasang impian membarisi skuad Hrabri Sokoli (The Brave Falcon) satu hari nanti.

Corak Permainan Dan Taktikal Sarawak

Umum mengetahui kelemahan jentera tengah Sarawak pada musim ini. Langkah David Usop dan FAS menandatangani Milos Raickovic dianggap sebagai langkah yang bijak.

Bersama kelab lama beliau, Milos turut memperagakan bantuan gol yang menarik dengan daya kreativiti yang menakjubkan.

Milos Raickovic (No.19) ketika aksi Liga Divisyen 1 Montenegro.

Aset utama dalam permainan Milos adalah hantaran-hantaran pendek dan jauh yang boleh membuka ruang untuk pasukannya menggempur kubu lawan.

Berdasarkan aksi terdahulu, kami boleh katakan Milos Raikovic punyai visi yang jelas ketika merancang gerakan dan melakukan hantaran.

Milos boleh beraksi sebagai pemain tengah klasik (central midfielder) ataupun pemain tengah bertahan (defensive midfielder).

Kehadiran Milos memberikan lebih banyak pilihan untuk David Usop di bahagian tengah Sarawak. Kini, David boleh menggandingkan Milos bersama Demerson untuk mengepalai jentera tengah Sarawak.

Milos Raikovic belakang (kiri sekali) bersama rakan sepasukan FK Buducnost Podgorica.

David turut boleh memilih pemain tempatan yang sedang meningkat naik, Awang Kamaruddin untuk digandingkan dengan Milos atau membariskan ketiga-tiga pemain di bahagian tengah serentak.

Dalam situasi ini, Milos akan mengambil peranan sebagai pivot di belakang Awang dan Demerson sekaligus membantu pertahanan tengah Sarawak yang diketuai oleh Ronny harun.

Segalanya akan bergantung dengan perancangan taktikal pasukan Sarawak ketika menghadapi lawan dalam baki saingan Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia nanti.

Bumi Kenyalang Pilihan Hati

Milos Raickovic sekadar tersenyum ketika kami melontarkan soalan ini. Mengapa Sarawak?

Ini jawapan beliau:

“Sarawak adalah pasukan dan tempat yang menarik pada saya. Saya memilih untuk datang ke sini setelah kontrak saya tamat di FK Buducnost Podgorica.”

“Saya memilih keluar dari Eropah kerana saya mahukan pengalaman baru dalam karier bola sepak saya. Saya berpendapat Sarawak adalah pilihan yang tepat untuk membuktikan keupayaan diri.”

Aksi Milos rajkovic di Divisyen 1 Montenegro.

Ketika ditanya tentang pendapat beliau mengenai bandaraya Kuching dan rakan sepasukan, ini jawapan beliau:

“Penduduk di sini sangat ramah. Rakan-rakan sepasukan dan pengurusan juga ramah. Ini adalah kunjungan pertama saya ke Asia dan Malaysia. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru.”

“Kuching adalah sebuah bandaraya yang tidak bising, dan saya sukakan itu. Mungkin dalam beberapa bulan akan datang, saya akan berkesempatan untuk melihat keindahan negara Malaysia,” ujar beliau menutup bicara.

Rumusan

Kehadiran Milos Raickovic bersama Sarawak adalah tonik yang dinanti-nantikan oleh FAS dan penyokong bola sepak Sarawak amnya.

Masih terlampau awal untuk menilai sejauh mana keupayaan Milos bersama Sarawak. Tetapi pengalaman dan kepakaran beliau pasti ditagih di bahagian tengah skuad Bujang Senang.

Kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat datang ke Malaysia dan selamat maju jaya buat Milos Raickovic Rai dan Sarawak F.A.

Encang Sarawak Encang!

 

 

 

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!