Kenali Meteo Retegui, Penyerang Muda Sensasi Azzurri Yang Tak Reti Berbahasa Itali

Mateo Retegui Itali

Nama Mateo Retegui secara tiba-tiba ‘meletup’ selepas penyerang berusia 23 tahun itu mencipta sensasi dengan menjaringkan gol dalam dua perlawanan pusingan kelayakan Eropah menentang England dan Malta.

Semuanya terjadi selepas skuad Azzurri kehilangan penyerang utama Ciro Immobile akibat kecederaan dan pengendali Itali, Roberto Mancini membuat panggilan antarabangsa ke atas pemain kelahiran Argentina tersebut dan ternyata ia merupakan keputusan yang amat berbaloi.

Apa yang lebih mengejutkan, ia dibuat dalam keadaan Retegui tidak pernah beraksi di Itali dan langsung tidak tahu berbahasa negara yang diwakilinya.

Beliau dilahirkan di San Fernando, sebuah penempatan bandar di pinggir metropolitan Buenos Aires.

Bapanya, Carlos beraksi untuk skuad hoki Argentina dalam tiga temasya Sukan Olimpik dan Retegui pula pernah mewakili Argentina bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) dan B-20.

Tetapi beliau layak beraksi untuk Itali menerusi darah datuknya, Angelo Dimarco yang berasal dari Sicily sebelum berhijrah ke Argentina.

Meskipun tidak mampu berbahasa Itali, Retegui berjaya menutup kelemahan tersebut dengan bakat luar biasanya apabila muncul pemain keempat dalam sejarah bola sepak Itali menjaringkan gol dalam dua perlawanan perlawanannya di pentas antarabangsa.

Retegui secara rasminya merupakan pemain Boca Juniors, tetapi kini sedang dipinjamkan ke Club Atletico Tigre di mana beliau telah menjaringkan 29 gol daripada 51 penampilan dalam semua pertandingan.

Rekod menakjubkan itu membuatkan Mancini terpaksa mengubah pendiriannya yang sebelum ini bertegas bahawa mereka yang lahir di Itali sahaja layak untuk beraksi mewakili negara tersebut.

“Dunia telah berubah,” jawab Mancini selepas ditanya mengenai keputusannya.

“Setiap pasukan kebangsaan di Eropah dan di seluruh dunia secara umumnya mempunyai pemain yang datang dari luar dan berasal dari negara lain.

“Kami juga mempunyai pemain-pemain yang bermain untuk Itali semasa remaha, tetapi kemudian memilih untuk mewakili negara lain di peringkat senior.

“Kami telah mengikuti perkembangan Retegui untuk beberapa tempoh di mana dia beraksi secara tetap dalam liga Argentina untuk dua musim. Jadi saya nampak dia mempunyai kualiti yang kami tiada.”

Mancini turut mengatakan beliau dapat melihat Retegui mempunyai aura legenda Argentina, Gabriel Batistuta yang menghabiskan hampir keseluruhan kariernya di Itali.

“Saya boleh katakan yang dia seperti Batistuta semasa tiba di Itali. Dia mungkin perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri, tetapi kita lihat dia tak menunggu lama. Menunjukkan dia sorang pemain yang bijak.

“Datang dari Argentina dan bermain untuk pasukan kebangsaan, malah dengan kelab Itali pun tak pernah, ia bukannya mudah. Ternyata dia seorang budak yang terpelajar dan cerdik.

Untuk rekod, Retegui juga muncul pemain pertama dalam sejarah Itali yang menjaringkan gol untuk negara ketika beraksi di kelab luar Eropah.

Dengan persembahannya ketika ini, sudah pasti kelab-kelab gergasi Eropah bakal ‘beratur’ untuk mendapatkan khidmatnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN