Quantcast

BERITA

Kenali Faliq Firdaus, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Termuda Di Malaysia

Persatuan Bolasepak Melayu Negeri Sembilan (PBMNS) telah melantik Faliq Firdaus sebagai Timbalan Presiden mereka yang baharu bagi penggal 2018-2020 dalam Mesyuarat Agung Persatuan kali ke-27 mereka di Rembau semalam.

Faliq Firdaus, 25, merupakan Timbalan Presiden termuda dalam sejarah PBMNS. Malah beliau mungkin turut merupakan Timbalan Presiden persatuan bola sepak termuda di Malaysia ketika ini.

Umur Faliq yang muda mungkin akan membuatkan beliau disalah anggap memiliki pengalaman cetek dan masih hijau dalam dunia pentadbiran bola sepak. Bagaimanapun rekod Faliq membuktikan sebaliknya.

Pelajar Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menetap di Bandar Sri Sendayan ini sudah aktif terlibat dalam bidang media dan pemasaran bola sepak sejak 2011. Masih aktif menabur bakti sebagai Ketua Media & Komunikasi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sejak 2014, Faliq sebelum itu menimba pengalaman dalam bidang media bersama majalah Dunia Sukan dan Frenz United.

Menepati reputasinya sebagai orang muda, Faliq sentiasa lantang memperjuangkan isu-isu pembangunan akar umbi bola sepak negara dan bersikap terbuka menerima idea-idea baru untuk memajukan arena bola sepak negara.

Ketika ditemuramah oleh Semuanya BOLA selepas perlantikannya sebagai Timbalan Presiden PBMNS, Faliq memberitahu salah satu inisiatif dalam mandatnya adalah untuk melibatkan Negeri Sembilan dengan lebih aktif dalam arena bola sepak amatur Malaysia.

“Saya telah diberi lampu hijau oleh Presiden PBMNS, Yang Mulia Dato’ Kamarulnizam untuk menjalankan feasibility study sama ada kita boleh menganjurkan Liga M5 atau tidak,” kata Faliq.

Menurut Faliq, beliau tidak mahu Negeri Sembilan tertinggal di belakang Selangor dan Terengganu; dua negeri yang mempunyai arena bola sepak amatur yang paling aktif di Malaysia. “Kami di PBMNS sedang berkira-kira untuk menubuhkan sebuah pasukan amatur yang akan bertindak sebagai pelapis kepada pasukan Negeri Sembilan yang bersaing dalam Liga Malaysia dan kejohanan Piala Emas Raja-Raja.”

Bercakap mengenai Piala Emas Raja-Raja, Faliq turut mahu Negeri Sembilan membuat persiapan lebih rapi pada tahun 2019 nanti, berbanding persiapan 2018 yang lebih bersifat ad-hoc.

“Untuk mencapai matlamat ini, kami perlu membina satu pangkalan data pemain dan jurulatih yang membawa ke sistem pencarian bakat. Pangkalan data ini juga dapat dimanfaatkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) sendiri,” ujar Faliq lagi.

Sebagai salah satu ahli gabungan dalam Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), PBMNS turut berpeluang melakar perubahan segar dalam skala kebangsaan memandangkan PBMM sendiri merupakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tetapi untuk mencapai objektif tersebut, PBMNS perlu lebih pro-aktif terlebih dahulu. Dan di bawah kepimpinan generasi muda seperti Faliq, PBMNS mempunyai potensi melakukan perkara tersebut.

Senarai Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Melayu Negeri Sembilan 2018-2020

Yang DiPertua
YM Dato' Kamarulnizam bin YTM…

Posted by Persatuan Bolasepak Melayu Negeri Sembilan on Friday, September 7, 2018

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!