Mana-mana pemain bola sepak pastinya tidak rela untuk mengalami kecederaan teruk dalam karier mereka walau sekali, sepanjang perjalanan karier mereka.
Begitu juga dengan Ahmad Haziq bin Ahmad Puad yang hampir melupakan terus karier beliau selaku pemain bola sepak profesional kerana isu kecederaan.
Namun, tuah masih lagi memihak beliau selepas dirinya kini kembali bangkit untuk tampil mewakili Melaka United pada musim lalu dengan prestasi di luar jangkaan ramai.
Menurut Haziq, segalanya tampak tidak begitu baik buat dirinya untuk kembali tampil selaku pemain bola sepak setelah disahkan mengalami kecederaan serius sewaktu masih bersama Felda United.
“Ketika itu saya menerima kecederaan panjang serta masih mempunyai kontrak bersama Felda United. Alhamdulillah, pihak kelab menanggung semua kos perubatan.
“Selepas itu, pihak atasan meminta saya untuk menjadikan Nidzam Jamil sebagai mentor serta mengikuti kursus kejurulatihan untuk menabur bakti buat akademi Felda United,” jelas Haziq kepada kami.
Pintu untuk pemain ini kembali beraksi di atas padang jelas masih lagi terbuka, setelah Haziq mendapat suatu tawaran istimewa untuk mewakili Melaka United pada musim lalu.
Ketika itu, pertahanan berasal dari Kedah ini tersenarai beraksi bagi mewakili skuad bekas pemain Felda United untuk menentang Melaka United bagi perlawanan persahabatan.
Aksinya yang berkualiti di posisi pertahanan mendapat perhatian daripada salah seorang ejen yang menyaksikan perlawanan tersebut dan mempelawa Haziq untuk menyertai Melaka United.
“Cuma pada awalnya ia agak sukar untuk saya ketika sesi latihan bersama Melaka United kerana semusim tidak beraksi.
“Mujur ketika menjadi jurulatih untuk skuad akademi Felda, saya banyak menjalani latihan secara individu atau bersama para pemain lain untuk mengekalkan kecergasan.
“Saya sendiri tidak begitu percaya selepas diberi peluang kesebelasan utama untuk Melaka United dan mampu mencapai tahap konsisten lebih baik musim lalu,” tambah Haziq.
Pada masa sama, Haziq mengakui musim pertamanya bersama Perak merupakan suatu peluang yang sangat menarik, terutama sekali bekerjasama dengan Lim Teong Kim.
Beliau menyatakan skuad ini mempunyai masa depan yang cerah, sekiranya diberi lebih banyak ruang dan peluang pada masa akan datang untuk mencabar mana-mana kelab.
Selamat menyertai Melaka United FC buat tiga lagi pemain baharu yang sah menyertai Skuad Hang Tuah musim ini iaitu Ahmad Haziq Puad, Muhammad Fauzan Fauzi dan Muhammad Fadhil Idris.#Welcome#NewSignings#MelakaUnitedFC2022#AllUniteforMelaka pic.twitter.com/BTJvPJr9Of
— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) January 23, 2022
Sasaran yang diletakkan Haziq musim ini bersama Perak cukup sekadar mereka mampu meraih kedudukan lima terbaik dan mencipta peluang mara ke pusingan separuh akhir dalam mana-mana kejohanan.
Melihat kepada skuad kebangsaan kini, pertahanan berusia 29 tahun itu tetap menyimpan harapan agar terpilih untuk mewakili Malaysia dalam mana-mana perlawanan.
Beliau juga mengidamkan untuk beraksi sekurangnya satu musim bersama negeri kelahirannya Kedah, setelah mengakui ianya merupakan pasukan paling diminati sejak kecil.
“Siapa yang tak pasang impian untuk wakili negara? Begitu juga berbakti untuk pasukan negeri kelahiran sendiri. Saya harap sebelum bersara, kedua impian tersebut mampu dikecapi,” luah Haziq akhir sekali.