Penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Ahmad Syihan Hazmi Bin Mohamed menganggap sistem latihan yang diterapkan oleh pasukan tersebut sangat berbeza dan memerlukan fokus sepenuhnya berbanding sebelum ini.
Syihan merupakan rekrut terbaharu JDT di bahagian penjaga gol, selepas posisi tersebut sebelum ini dikuasai oleh Farizal Marlias selama beberapa tahun dengan prestasi sangat cemerlang.
“Selamat Datang Ke JDT” – Akhirnya Terbukti TMJ Kenal Syihanhttps://t.co/ULTc5iMzor
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 13, 2023
Syihan mula mencipta nama beliau pada musim lalu bersama Negeri Sembilan, selepas pemain tersebut tampil konsisten bersama pasukan itu sehingga mendapat tempat bersama Harimau Malaya bawah kendalian Kim Pan-gon.
Musim pertama bersama JDT jelas menjadi sesuatu yang sangat hebat buat Syihan, selepas penjaga gol tersebut hanya dibolosi satu jaringan sahaja selepas mengharungi 13 perlawanan.
Malah, Syihan juga menjadi sebahagian daripada sejarah baharu buat JDT yang cemerlang mencatat semua kemenangan bagi pusingan pertama Liga Super musim ini.
Jelas Syihan, antara faktor kecemerlangan yang dikecapi ini disebabkan usaha dan sikap kerjasama berpasukan menjadikannya cemerlang mencipta 12 ‘clean sheet’ daripada 13 perlawanan dilalui.
Syihan hanya dibolosi satu gol ketika aksi membabitkan JDT menentang Kelantan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 11 Mac lalu dengan keputusan penuh 5-1.
Selain itu, penjaga gol berusia 27 tahun ini juga mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana memberi peluang buat Syihan mewakili pasukan tersebut.
Penjaga gol tinggi lampai itu juga mengakui segalanya pasti sukar buat beliau jika tiada rakan-rakan yang memberi sokongan serta tunjuk ajar untuk Syihan terus menyerlah.
This is the Home of Champions, Syihan.
Welcome to JDT!#AClassAboveTheRest#SyihanHazmi#JDTFamily#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/vPBBUqGwS5— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 13, 2023
“Sebagai pemain Syihan bersyukur sangat-sangat dengan rezeki yang Allah bagi. Berterima kasih juga pada Tunku Mahkota Johor dan juga kepada semua player JDT yang banyak bantu Syihan mencatatkan keputusan cemerlang setakat ini.
“Terima kasih kepada semua pemain bukan sahaja di barisan pertahanan tetapi di semua bahagian yang banyak membantu.
Latihan bersama jurulatih penjaga gol di sini sangat berbeza dan Syihan kena sentiasa fokus dan beri 100 peratus dalam latihan dan perlawanan,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Syihan juga mengakui hasil tunjuk ajar daripada jurulatih penjaga gol iaitu Jon Elorza Dominguez menjadikan prestasinya semakin meningkat, dengan pengendali tersebut mementingkan aspek fokus dalam sesi latihan serta kepebagaian teknik baharu untuk memantapkan diri ke arah lebih baik.