Pemain kelahiran Denmark, Ken Ilsø Larsen, 31, kini sah menyarung jersi pasukan Pulau Pinang. Perkara tersebut disahkan selepas beberapa fotonya tiba di Pulau Pinang dimuat naik laman rasmi facebook Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) 3 jam yang lalu.
Media FAP melalui laman rasmi FB hari ini, memuat naik gambar beliau bersama wakilnya, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
Kehadiran pemain itu akan mengisi posisi penyerang skuad Pulau Pinang untuk musim 2018 yang sebelum ini diisi oleh Nigel Dabinyaba.
Sebelum ini, Pulau Pinang telah berjaya mengikat bekas pertahanan Selangor, Ugo Ukah dan seorang pemain kelahiran Korea Selatan, Kang Seung-Jo bagi mengisi slot pemain import dari Asia bagi saingan Liga Malaysia pada musim akan datang.
Ken yang dikenali sebagai penyerang prolifik sebelum ini, bakal bergandingan dengan seorang lagi awang import Pulau Pinang musim lalu yang masih dikekalkan, iaitu Sanna Nyassi dari Gambia di bahagian serangan.
Nyassi sudah disahkan oleh pengurusan Pulau Pinang untuk berada di dalam skuad Harimau Kumbang untuk saingan 100Plus Liga Premier 2018 selepas dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua pada musim lalu.
Rekod dan pencapaian serta pengalaman beraksi bersama Kedah pada musim sebelum ini dengan membantu Kedah merangkul beberapa kejuaraan pasti menjadi aset dan kelebihan buat Pulau Pinang jika kedua-dua pihak bersetuju untuk bergandingan pada musim akan datang.
Ilso menjaringkan 15 gol di saingan Liga Super Malaysia 2017 untuk Kedah setelah tiba dari Home United (Liga Singapura) pada musim sebelumnya.
Ilso turut menjadi wira Kedah apabila turut menyumbangkan satu gol ketika menewaskan Pahang di aksi final Piala FA 2017.
Pulau Pinang jelas tidak mahu membuang masa, lantas mengesahkan Ilso sebagai pemain import terbaru bagi mereka sebentar saja tadi.