Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui perlawanan menentang UiTM FC adalah perlawanan yang sukar, namun tetap gembira untuk tiga mata yang diperolehi oleh anak buahnya.
“Perkara terpenting ialah kemenangan dan tiga mata. Saya cukup gembira dengan itu,” kata Mora dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan semalam, JDT berhadapan tentangan sengit daripada UiTM FC dan berhadapan kesukaran untuk menembusi bahagian pertahanan lawan.
Mora turut melakukan beberapa perubahan dalam perlawanan ini, termasuk merehatkan Safawi Rasid, dan menurunkan Lendro Velasquez bersama Nazmi Faiz di bahagian tengah.
“Kami tidak akan sentiasa turun sebagai pasukan yang sama, bermain baik dan sempurna seperti perlawanan sebelum ini.,” tambah beliau lagi menjelaskan pilihan pemain.
“Adakalanya kami akan berhadapan kesukaran. Akan ada pasukan yang sentiasa mahu menewaskan kami. Pasukan seperti UiTM FC datang ke sini tanpa perlu risaukan apa-apa, dan telah beraksi dengan baik secara bertahan.
“Kami bermain baik selama 20 minit pertama perlawanan, kami mulai melakukan hantaran yang tidak tepat, dan ini memberikan masalah kepada pasukan.
“Kami akan berhadapan dengan perlawanan dan pasukan sebegini yang turut mahukan tiga mata seperti kami. Inilah bola sepak.”
Mora bagaimanapun mengakui ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki dalam permainan seperti corak permainan dan hantaran pantas yang perlu diperkemaskan.
Beliau turut mengakui beberapa pemain utama masih lagi keletihan dan tidak mendapat rehat yang cukup sebelum perlawanan menentang UiTM FC.