Hanya kemenangan sahaja menjadi tumpuan utama kini buat skuad kebangsaan jika mereka berkeinginan untuk terus memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Malah, itu juga keinginan telah disuarakan oleh pertahanan kental Harimau Malaya iaitu Dion Cools semalam pada sesi sidang media sebelum mengharungi perlawanan persahabatan kedua bertemu India.
Untuk bulan November, Malaysia memulakan momentum dengan cukup baik di pentas antarabangsa selepas mereka menewaskan Laos pada aksi pertama di Thailand menerusi kemenangan 3-1.
Walaupun mendapat pelbagai kritikan terutama aksi di separuh masa pertama, skuad kendalian Pau Marti Vicente menepati ramalan untuk meraih kemenangan diidamkan.
Malah kemenangan itu meletakkan Malaysia kini di kedudukan 128 dunia dan ia merupakan suatu lonjakan motivasi terbaik buat mereka untuk mengharungi aksi hari ini.
Walaupun begitu, cabaran India jelas tidak boleh dipandang remeh apatah lagi Malaysia bakal beraksi di kubu kuat pasukan lawan pada aksi tersebut.
Walaupun rekod lalu memihak kepada Malaysia, secara keseluruhan India masih sebuah pasukan yang sangat stabil di segenap posisi untuk memberi cabaran getir buat skuad kebangsaan.
Selain itu, Cools sendiri mengakui kehadiran ramai penyokong tuan rumah mampu memberi tonik tambahan kepada India untuk cuba memberi cabaran hebat kepada Malaysia.
Walaupun begitu, pemain Buriram United tersebut menyatakan beliau bersama rakan sepasukan lain tidak terganggu daripada segi fokus untuk menghadapi aksi berkenaan sebaik mungkin.
“Saya lihat setiap pemain sudah pastinya mahu beraksi di depan puluhan ribu penyokong. Jika ada ramai penyokong mungkin tidak menjadi masalah buat barisan pemain.
“Apa yang penting adalah mengharapkan permainan yang baik dan bagus esok kerana kemenangan boleh memperbaiki ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa),” kata beliau menerusi perkongsian dibuat oleh Harian Metro.
Aksi yang bakal berlangsung hari ini menyaksikan Cools antara dijangka menjadi pilihan utama Pau Marti untuk terus memperkukuhkan jentera pertahanan Harimau Malaya.
Tampil dengan cukup cemerlang pada aksi lalu, dijangka bekas pemain skuad pembangunan Belgium itu akan beraksi di posisi pertahanan kanan untuk menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Matthew Davies.