Siapa yang tidak kenal dengan pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah yang merupakan ikon pemain bola sepak Muslim pada masa kini. Tetapi tidak ramai yang tahu beliau mempunyai seorang ‘kembar’ yang juga seorang pemain bola sepak yang berasal dari Mesir.
Waleed Adel sebenarnya tidaklah mempunyai apa-apa pertalian darah dengan Salah. Tetapi disebabkan wajahnya mirip kapten pasukan bola sepak Mesir itu, kelibatnya telah mencuri perhatian orang ramai setiap kali turun beraksi.
Bekas pemain kelab Mesir El Nasr SC itu telah tiba di Kelantan sejak Sabtu lepas dan kini sedang menjalani sesi percubaan dengan pendatang baharu Liga Premier, Kelantan United.
Pada petang Selasa, beliau diturunkan oleh Kelantan United dalam perlawanan persahabatan menentang UiTM Machang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu. Dalam perlawanan tersebut, Waleed Adel telah menyumbat dua gol dan keputusan perlawanan memihak kepada Kelantan United dengan keputusan 10-0.
Dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini, pemain tersebut telah pun membuktikan kemampuannya dengan menjaringkan empat gol serta melakukan tiga bantuan jaringan.
Pemain berusia 26 yang bermain di posisi sayap kanan ini sebelum ini dilaporkan turut menjalani sesi percubaan dengan kelab Thai League 2, Ranong United. Waleed Adel pernah beraksi bersama kelab Thailand, Nara FC sebelum kembali semula ke Mesir pada 2017.
Breaking!!! Mohamed Salah signed with Ranong FC! 😜
(He is Waleed Adel, Egyptian player of Ranong FC in Thai League 2. pic.twitter.com/6gtJndDtCO
— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) December 23, 2019
Kelantan United sebelum ini sudah pun sah mengikat kontrak seorang pemain import iaitu Gassama Alfusainey. Pemain berusia 23 tahun dari Gambia itu telah menyertai skuad Kijang Hijau pada pertengahan musim lepas dan membantu pasukan tersebut menjuarai Liga M3.
Gassama telah menjaringkan 26 gol dan mencipta 6 bantuan gol dalam 18 perlawanan termasuk mencatat hatrik dalam penampilan pertamanya ketika berdepan Penjara FC.
Kredit Foto: Kelantan United FC