“Kematian Ada Di Tangan Allah” – Sadio Mane Tidak Gentar Ugutan Disihir Bomoh Afrika

Bintang Senegal Sadio Mane dilaporkan mendapat ancaman disihir ketika bersama Senegal di Piala AFCON 2021.

Malah penyerang Liverpool itu hanya sekadar berkata hidup mati hanya di tangan Allah ketika ditanya mengenai ancaman tersebut.

Seperti yang dilaporkan oleh newspremises.com, seorang bomoh Afrika dikatakan telah mengancam akan melakukan sihir terhadap Mane dan bakal menyebabkan kematian kerana sakit jantung jika melakukan penampilan untuk Senegal.

Sebagai pemain bintang dan beraksi bersama Liverpool, Sadio Mane merupakan salah seorang penyerang yang pasti akan diperhati mana-mana lawan Senegal.

Ancaman daripada bomoh itu kemudian menjadi tular di media sosial. Tidak kurang juga mereka yang mengutuk ancaman bomoh tersebut yang dianggap pengecut.

Piala AFCON sememangnya dikenali dengan kisah-kisah aneh yang berkaitan dengan ilmu hitam dan sihir.

Sadio Mane bagaimanapun tenang ketika memberi respon mengenai dakwaan tersebut. Malah beliau tidak peduli langsung dengan ancaman sebegitu.

“Saya membesar dengan diajar bahawa kematian itu cuma ada di tangan Allah, dan saya percaya bahawa kehidupan manusia hanya sementara, dan saya akan tetap bermain seperti biasa,” kata Mane.

“Jika sekali pun saya terkena serangan jantung dan mati di atas padang, itu kerana ia sudah menjadi kehendak Allah. Jadi jangan terpedaya dengan kata-kata bomoh itu.”

Sepanjang karier dan kehidupannya, Sadio Mane sememangnya dikenali sebagai penganut agama Islam yang taat kepada ajaran.

Dalam satu wawancara beliau pernah berkongsi bagaimana dirinya terus berusaha menjalankan ibadah solat lima waktu dan rutin membaca Al-Quran.

Ia tidak menghairankan mengapa pegangan Islam dalam diri Mane sangat kuat. Di kampung halamannya di Senegal, Mane merupakan anak lelaki seorang imam masjid di Bambali, iaitu sebuah kota kecil di Senegal.

Apa yang menarik, ayahnya tidak pernah berdepan masalah untuk membenarkannya bergelar pemain bola sepak.

Apa yang ayahnya risaukan ialah Mane mengikuti gaya hidup mewah dan berfoya-foya seperti bintang bola sepak yang lain. Bahkan dia sangat menentang dengan keras apabila Mane mewarnakan rambutnya.

Leave a Reply