Quantcast

BERITA

Kemasukan Bernhardt Dan Rowley Perkuatkan Jentera Tengah Kedah

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris, yakin dengan kemampuan dua pemain baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia minggu lepas untuk memastikan skuad helang merah raih kedudukan tiga terbaik Liga Super musim ini.

Dua pemain tersebut ialah pemain berdarah kacukan, David Rowley dan pemain skuad kebangsaan Krygyzstan, Edgar Bernhardt bagi memperkuatkan jentera tengah mereka yang kelihatan pincang sejak awal musim ini.

“Edgar dan juga David Rowley bakal membantu rakan sepasukan lain terutama bahagian tengah untuk melancarkan lagi serangan dan juga penguasaan bola.

“Reputasi Edgar yang pernah menggalas tugas selaku ketua pasukan Kyrgyzstan sebelum ini bakal membantu untuk menguatkan jentera tengah pasukan Kedah.

“Saya yakin dengan perancangan dan peraturan yang dilakukan oleh barisan pengurusan dan kejurulatihan ini, kita mampu beri saingan yang diharapkan dan seterusnya berazam layak ke final Piala FA musim ini dan menjulang kejuaraan adalah bonus untuk Kedah sekiranya kita memenanginya di pentas akhir nanti.” katanya dalam Harian Metro.

Aksi Edgar Bernhardt dalam satu perlawanan pemanas badan semalam. FOTO: KFA

Kedah yang kini menghuni kedudukan ketiga Liga Super bakal melayan kunjungan juara Piala FA, Pahang pada hari jumaat ini. Bagaimanapun, Asmirul mahu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu segera melupakan kekalahan kepada JDT bulan lepas dan fokus pada perlawanan yang akan datang.

“Ini kerana kita dapati ada jurang dari segi teknikalnya pada perlawanan berkenaan, namun kita boleh terima atas sebab diatas kertas kita tidak dapat menurunkan kapten Baddrol Bakhtiar dan seorang lagi import Anmar Almubaraki yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

“Selain keserasian antara pemain yang perlu diteruskan, saya juga mengharapkan dengan latihan yang disediakan oleh jurulatih kecergasan Azmi Ibrahim dan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, mampu memberi kesan yang diharapkan dalam mengharungi tempoh lima perlawanan hingga hujung bulan ini.” jelasnya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!