Kemanakah Hala Tuju Pemain Skuad Piala Belia Dan Piala Presiden Perlis?

Nasib pemain muda daripada skuad Piala Belia dan Piala Presiden Perlis menjadi tanda tanya selepas Malaysia Football League (MFL) membuat keputusan untuk menyingkirkan Perlis daripada siangan Liga Malaysia minggu lepas gara-gara kerana masalah kewangan yang serius.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menolak pendaftaran skuad belia dan presiden Perlis selepas mendapati mereka gagal melengkapkan senarai penuh pada hari terakhir pendaftaran, Jumaat lalu.

Situasi itu jelas merencatkan program pembangunan bola sepak negara dimana pemain muda yang berbakat besar kini kehilangan tempat untuk menonjol bakat mereka di peringkat tertinggi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata dalam Berita Harian, pihaknya tidaklah begitu kejam untuk menutup platform kepada pemain muda dari Perlis namun tindakan menolak pendaftaran mereka terpaksa dibuat bagi mengelakkan masalah lain yang akan timbul kelak.

“Apa yang lebih merisaukan kita adalah skuad belia dan presiden sebab mereka anak-anak Perlis. Maka tidak ada platform untuk mereka untuk tonjolkan bakat mereka tahun ini.

“Sebenarnya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan sudah menolak pendaftaran skuad belia dan presiden sebab pendaftaran mereka tidak cukup pemain. Pemain pun tidak cukup, macam mana nak daftar?

“Tujuan kita bukan nak menyekat tetapi nak beri peluang kepada anak muda bermain. Tetapi dalam keadaan sekarang, kalau kita benarkan, nanti selepas tiga atau empat perlawanan mereka tidak hantar pemain, ia pasti akan menimbulkan masalah kepada pasukan lain,” jelasnya.

FOTO: FAM

Bagaimanapun Mohd Yusoff menjelaskan pihaknya mungkin akan mempertimbangkan penyertaan skuad Piala Belia dan Piala Presiden Perlis jika berlaku perubahan dalam pucuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

“Kalau ada orang lain dapat ambil alih, mungkin kita boleh buat keputusan lain sebab kita masih memikirkan kepentingan Perlis dan anak-anak Perlis. Walaupun kita sudah batalkan tetapi masih beri tempoh.

“Kalau ada presiden baharu atau pengurusan baharu yang mampu menunjukkan mereka boleh bawa pasukan, kita mahu lepaskannya (beraksi),” katanya.

Leave a Reply