Naik turun sesebuah pasukan itu perkara biasa dalam dunia bola sepak profesional. Begitu juga buat Kedah Darul Aman (Kedah) yang dilihat kini sedang mengalami zaman gelap mereka.
Menjadi antara sebuah kelab yang digeruni serta melakar sejarah tersendiri dalam saingan di Malaysia serta Asia, tiada siapa menyangka mereka bakal diuji dengsn begitu hebat kinj.
Pelbagai persoalan timbul dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan: “adakah Kedah akan terus bernafas atau sudah pun berkubur cuma tidak bertanda?”
Hanya pemilik kelab, pengurusan, pemain, kejurulatihan serta peminat setia sendiri yang mengetahui jawapan buat keadaan semasa kelab tersebut.
Seperti diketahui, sambutan penyokong Sang Kenari antara yang mencatat kehadiran rendah ke Stadium Darul Aman (SDA) musim ini sehingga kami pernah memuat naik persoalan jika jiwa mereka sudah mati buat kelab.
Seruan demi seruan sering dikeluarkan oleh pemilik kelab iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud bin Bakar sendiri di media sosial supaya lebih ramai mampu mencatat kehadiran ke stadium sebagai tanda sokongan buat Kedah.
Malah untuk aksi hari ini juga Dr Daud turut menyeru kepada penyokong supaya hadir beramai-ramai ke stadium sejak semalam sebagai tanda untuk mengurangkan sedikit beban kelab.
“Mengharapkan sesuatu bantuan dari orang lain adalah indah tetapi bahaya. Kita, semua keluarga KDA FC, banyak mengharapkan bantuan orang lain tetapi kebanyakannya tidak menjadi. Macam-macam alasan, rintangan dan juga perkara yang meragukan.
“Kita kecewa dan pemain serta pegawai serta staf KDA FC cukup terkesan serta sengsara. Namun, mengharapkan sesuatu dari diri dan keluarga kita sendiri mungkin lebih indah dan lebih diyakini.
“Kalau semua peminat dan penyokong Sang Kenari datang beramai-ramai, pasti akan terubat sedikit kesulitan dan kepayahan pasukan kita.
“Saya amat mengharapkan kita membantu sesama kita. Dari keluarga kepada keluarga. Jumpa anda semua di Stadium Darul Aman pada 2 November 2024. Perjuangan serta legasi yang perlu dan wajib diteruskan,” ujar beliau di media sosial rasmi Kedah.
Untuk aksi hari ini, Kedah bakal berdepan cabaran Selangor dalam aksi Liga Super dan sudah tentu perlawanan tersebut menjanjikan sesuatu cukup sengit dan menarik untuk ditonton.
Sudah tentu kehadiran ribuan penyokong ke stadium juga dijangka mampu menghidupkan lagi atmosfera di SDA selain ia sebagai tanda penyokong sendiri membantu kelab tanpa mengharapkan pihak luar demi nama pasukan itu terus bernafas.
Ini kerana, hanya penyokong sendiri pada akhirnya akan tetap bersama pasukan demi memelihara sebuah legasi kepada generasi akan datang.