Norshahrul Idlan Talaha selaku penyerang Melaka United telah terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan dalam aksi pusingan pertama Piala FA yang menyaksikan pasukan tersebut menyingkirkan wakil dari Liga M3, PIB FC dengan keputusan 4-0.
Dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu, Norshahrul telah meledak dua gol di separuh masa kedua sebagai pemain gantian dan impaknya menyaksikan serangan Melaka United lebih tajam dan kreatif untuk menewaskan lawan dan melangkah dengan penuh bergaya ke pusingan seterusnya.
“Kelibat beliau banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian-larian berbahaya
“Mat Yo menggunakan kelebihan menggelecek yang kerap kali mengelirukan pihak lawan.
Kemampuan Mat Yo membuktikan beliau masih berbisa di bahagian hadapan untuk membantu skuad Hang Tuah musim ini,” kata kenyataan tersebut di laman Facebook.
Untuk rekod, perlawanan tersebut juga menjadi kemenangan pertama buat skuad kendalian Risto Vidakovic setelah sebelum itu hanya mampu mengutip satu mata sepanjang dua perlawanan Liga Super 2022 berlangsung.
Dalam masa sama, Muhammad Akram Abdullah selaku pengurus pasukan tersebut nyata berpuas hati dengan kelincahan pemain itu yng dilihat semakin menemui kembali sentuhan berbisa selaku penyerang negara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Harian Metro, Akram yakin Norshahrul bakal kembali dengan lebih baik berbanding musim-musim lalu sekali gus bakal membawa pasukan ke arah lebih positif.
Selain itu, Akram turut berpendapat sekiranya aksi cemerlang sedemikian dapat dikekalkan oleh Norshahrul, tidak menjadi sesuatu yang mustahil buat beliau kembali dipanggil menyertai kem kebangsaan bawah kejurulatihan Kim Pan-gon seperti rakannya iaitu Safiq Rahim.
Untuk ketika ini, Melaka United masih lagi berada dalam fasa pembentukan para pemain bersama kejurulatihan baharu mereka, Vidakovic setelah musim lalu skuad ini mendapat sentuhan Zainal Abidin Hassan.
Namun pembentukan itu dilihat tidak berjalan dengan begitu baik apabila mereka terpaksa menangguhkan latihan selama seminggu berikutan 16 anggota skuad terbabit positif Covid-19.
Kemenangan besar baru-baru ini ke atas PIB FC menjadi tonik terbaik buat skuad itu untuk tampil dengan lebih yakin menjelang pertemuan bersama Sabah bagi aksi Liga Super hari Selasa ini.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!