Kelibat dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad dan Safiq Rahim antara yang mencuri tumpuan dalam sesi latihan yang kembali berlangsung, semalam.
Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) telah dibenarkan menjalani latihan masing-masing menjelang sepak mula yang dijangkakan pada 5 Mac depan. Sesi latihan kali ini berlangsung dengan mekanisme baharu iaitu ‘sport bubble’ atau gelembung sukan.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, bagi membolehkan liga kembali dilangsungkan, semua aktiviti latihan pasukan diwajibkan mengikuti mekanisme baharu ini bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. Penerangan ringkas ada di artikel ini.
Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini Tentang 'Sport Bubble' Liga Malaysia https://t.co/koTZMFSkXk
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 14, 2021
Syafiq Ahmad kembali bersama pasukan
Juara tujuh kali Liga Super, JDT antara yang dilihat sudah mula turun menjalani latihan malam tadi dengan kelibat beberapa pemain menjadi tumpuan para penyokong Harimau Selatan itu. Penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad dan bekas kapten Harimau Malaya dan Harimau Selatan, Safiq Rahim paling mencuri tumpuan.
Syafiq Ahmad sudah agak lama ‘menghilang’ selepas mengalami kemalangan jalan raya yang meragut nyawa anaknya yang baru berusia 22 hari, ibu mertuanya dan juga pembantu rumahnya, warga Indonesia. Isterinya pula dilaporkan cedera parah.
Syafiq Ahmad bersama anak perempuan dilaporkan selamat daripada kemalangan teruk yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, kira-kira jam 5.30 pagi ketika beliau dalam perjalanan pulang ke Pendang pada awal Disember lalu.
Melihatkan wajahnya yang ceria dan tenang selepas peristiwa menyayat hati itu pastinya melegakan kem JDT dan juga para penyokong yang sentiasa berada di belakangnya selain mendoakan agar beliau pulih untuk kembali beraksi.
Safiq Rahim juga apa kurangnya
Mungkin ramai menjangkakan yang pemain baharu JDT, Mohamadou Sumareh bakal menjadi tumpuan pada aksi latihan yang kembali berlangsung itu, namun siapa tidak sangka, kelibat bekas kapten, Safiq Rahim yang lebih hebat penangannya.
Gambar Safiq Rahim dilihat lebih banyak menerima respon daripada para penyokong dengan majoritinya mengucapkan selamat kembali kepada pemain yang sudah dianggap lagenda selepas meninggalkan pasukan pada penghujung musim 2018.
Enam musim dengan lambakan trofi kejuaraan menjadikan ‘comeback’ Safiq Rahim lebih dinantikan oleh para penyokong dan tentunya mereka mengharapkan sentuhan yang sama dapat dijelmakan oleh pemain berusia 33 tahun itu.
Menyarung semula jersi bernombor 8 miliknya dahulu, arkitek kebanggaan Harimau Malaya itu kembali selepas dua musim beraksi bersama Melaka United. Dikatakan beliau kembali ke kem JDT atas faktor saingan di Champions League, yang belum sempat dirasainya selepas memimpin mereka menjulang kejuaraan Piala AFC 2015.
Gagal jika ‘buang’ mata
Mungkin kudrat dan auranya masih diperlukan oleh JDT walaupun mereka memiliki lambakan pemain tengah. Dengan kapten terkini, Hariss Harun mungkin bakal sibuk dengan jadual pengajiannya, Harimau Selatan merasakan mereka memerlukan aura pemain seperti Safiq Rahim di dalam bilik persalinan mereka nanti.
Selain saingan Champions League, JDT juga pastinya mahu terus mencipta sejarah di Liga M dengan menjulang trofi Liga Super buat kali ke-8 berturut-turut.
Untuk itu, sebuah skuad yang ampuh dilihat telah dibentuk dengan kehadiran semula Safiq Rahim selain kemasukkan Danial Amier Norhisham dan Mohamadou Sumareh. Gagal meraih tiga mata mungkin boleh dianggap satu kegagalan buat mereka.
Turut kelihatan pada latihan tersebut ialah pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang turut serta menyaksikan latihan pasukan.
Dalam pada itu, dilihat hampir semua pasukan sudah mula menjalani latihan dengan norma baharu yang diperkenalkan antaranya UiTM FC, PJ City FC dan Selangor FC.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST
Baca lagi artikel lain mengenai Syafiq Ahmad, Safiq Rahim dan JDT:
Adakah Perubahan Posisi Syafiq Ahmad ‘Kunci Keputusan’ Di GBK?
TMJ: “Cerita Saya Singkirkan Safiq Rahim Kerana Lebih Sayangkan Mora Adalah ‘Bull***t’”
‘Koleksi’ Pemain Kebangsaan Bertambah Lagi, Ini 6 Perkara Mengenai Ketibaan Sumareh Di JDT