Kelab komuniti dari Klang, Southern FC bagai jatuh ditimpa tangga menjelang aksi kelayakan Shopee Piala FA 2019 yang bakal berlangsung petang esok. Selepas diundi bertemu dengan pasukan kuat; Kelantan United, nasib malang Southern berterusan apabila dijangka tidak dapat menurunkan separuh tonggak kesebelasan utamanya kerana masalah kecederaan.
Pengurusnya, Gan Chee Lim mengesahkan berita ini kepada Semuanya BOLA semalam. “Saya agak risau kerana 6 pemain kesebelasan utama kami berkemungkinan tidak dapat diturunkan. Ada yang masih cedera. Ada yang tak dapat bermain kerana berada di China bersama skuad Malaysian Chinese Football Association,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Chee Lim turut tidak dapat menurunkan dua ayam tambatannya iaitu penyerang Kizito Somadina dan pertahanan George Uche yang masih belum mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) masing-masing.
“Walaubagaimanapun, kita tetap akan memberikan persembahan 100% walaupun di atas kertas, Kelantan United jelas pasukan pilihan. Mereka mempunyai beberapa pemain berkaliber yang pernah bermain dalam Liga Super,” jelas Chee Lim lagi.
Sebagai rekod, pada edisi Shopee Piala FA 2018 yang lepas, Southern mengejutkan pasukan Piala FAM, Selangor United apabila menang 1-0 hasil jaringan Shahrul Afif. Pada pusingan ke-2, anak buah Chee Lim bagaimanapun dibelasah pasukan Liga Super, Melaka United 7-0.
Kelantan United pula, yang dahulunya dikenali dengan nama Kelab Bola Sepak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam & Uresetia Belia dan Sukan (MPKB-BRI Ubes FC), sebelum ini beraksi dalam saingan Piala FAM 2018 dan menduduki tempat ketujuh dalam kumpulan A dan telah bersaing dalam liga divisyen 3 tersebut sejak tahun 2016.
Skuad kendalian Zahasmi Ismail ini rata-ratanya dibarisi oleh bekas pemain-pemain Kelantan FA. Antara nama terkenal yang menyarung jersi pasukan ini termasuklah Daudsu Jamaludin, Shahrizan Ismail, Rozaimi Azwar dan Fakhrul Zaman.
Southern akan melayan kunjungan Kelantan United di Arena MPSJ esok pada jam 4.15 petang.