Thailand akan berdepan UAE dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Selasa ini tanpa bintang sensasi, Chanathip Songkrasin yang mengalami kecederaan otot ketika bersama kelabnya di Jepun, Consadole Sapporo.
Menurut laporan Bangkok Post, Chanathip terpaksa berehat sehingga dua minggu dan Thailand perlu bersedia berdepan semifinalis Piala Asia yang lalu itu tanpa kelibatnya.
Menurut pengendalinya, Akira Nishino, biarpun tanpa Chanathip, Gajah Perang masih memiliki pemain lain yang dapat mengisi kekosongan namun tetap ‘menangisi’ ketiadaan pemain itu.
“Sangat sukar untuk menggantikan pemain seperti Chanathip dan pastinya kami akan merinduinya untuk aksi menentang UAE.
“Kami memiliki ramai pemain yang boleh menggantikan tempatnya di dalam pasukan seperti Teerasil Dangda, Supachok Sarachat dan Ekanit Panya,” jelas pengendali kelahiran Jepun itu lagi.
Sedikit melegakan buat Nishino adalah kembalinya empat pemain yang telah bebas daripada kecederaan iaitu Supachok Sarachat, Theerathon Bunmathan, Pansa Hemviboon dan Narubadin Weerawatnodom – yang tersisih daripada pasukan ketika terikat 1-1 dengan Congo dalam aksi pemanas badan pada Khamis.
“Kami sedang melihat kepada pilihan lain untuk mengurangkan impak kehilangannya [Chanathip]. Saya pernah berdepan UAE sebelum ini ketika membimbing Jepun dan mereka memang kuat.
“Kami tiada perancangan untuk mengikat mana-mana pemain tetapi kami hanya akan fokus kepada permainan kami untuk menekan mereka,” tambah pengendali berusia 64 tahun itu.
UAE telah merekodkan dua kemenangan dalam dua aksi sebelum ini iaitu ketika berdepan Malaysia (2-1) dan kemenangan besar 5-0 ke atas Indonesia pada Khamis lalu serta sedang menerajui saingan Kumpulan G, dua mata di depan lawan selepas ini, Thailand.
Untuk Thailand pula, mereka telah merekodkan satu kemenangan berdepan Indonesia (3-0) pada bulan lalu dan terikat tanpa jaringan berdepan Vietnam pada perlawanan pertama.
Pemenang perlawanan ini berpeluang untuk menerajui kumpulan sehingga aksi kelayakan yang seterusnya pada November depan. Namun, jika Vietnam berhasil menang besar ke atas Indonesia, juga pada Selasa depan, mereka juga berpeluang berada di takhta.
Kredit Featured Image: Bangkok Post