Walaupun turun dengan rombakan pemain, Malaysia berhasil bermain baik dan menundukkan pasukan yang berada di ranking ke-116 dunia, Tajikistan dengan keputusan 1-0 dalam aksi persahabatan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.
Tan Cheng Hoe dilihat merehatkan kapten, Farizal Marlias dan Mohamadou Sumareh sementara Norshahrul Idlan Talaha, Brendan Gan dan Safawi Rasid pula dimasukkan sebagai pemain gantian.
Perubahan ketara adalah di posisi sayap menyerang apabila bek kanan, Syahmi Safari dan Akhyar Rasid telah diberikan ruang untuk mengisi posisi tersebut, malah sedikit sebanyak kehadiran mereka berjaya menggusarkan barisan benteng pertahanan pelawat.
Begitupun, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di babak pertama sebelum kemasukkan Brendan Gan dan Safawi Rasid mengubah rentak Harimau Malaya, seterusnya kombinasi mereka telah menghasilkan jaringan menarik pada minit ke-72.
Selain itu, kad merah kepada penjaga gol, Rustam Yatimov pada awal babak kedua selepas didapati menghalang gerakan Syahmi Safari di luar kotak penalti dengan menggunakan tangan turut membantu skuad negara meneruskan cengkaman.
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe jelas berpuas hati dengan aksi baik barisan pemainnya namun terdapat beberapa perkara yang menurutnya masih perlu penambahbaikkan.
“Ia satu kemenangan motivasi buat pasukan kerana Tajikistan bukan pasukan yang mudah untuk kita kalahkan. Keseluruhannya pemain telah memberikan yang terbaik walaupun kita terpaksa membuat beberapa perubahan disebabkan kecergasan pemain.
“Dalam aksi babak pertama, kita hampir melepaskan gol dalam beberapa situasi. Jadi, masih terdapat banyak kerja rumah yang perlu dilakukan terutamanya di bahagian pertahanan,” ujarnya.
Bercakap mengenai aksi berdepan Thailand dan Indonesia untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas ini, Tan Cheng Hoe mengatakan segalanya masih dalam perbincangan.
“Barisan kejurulatihan masih berbincang mengenai skuad ini dan juga kesebelasan utama untuk menentang Thailand. Kita telah melalui sesi latihan yang baik pada minggu ini dengan persaingan sihat dikalangan pemain untuk tersenarai dalam pasukan.
“Dan kemenangan ini memberikan mood positif menjelang dua aksi penting [berdepan Thailand dan Indonesia] selepas ini,” tambah pengendali berusia 51 tahun itu lagi di sidang media.
Malaysia akan menerima kunjungan Thailand pada Khamis ini sebelum melayan kunjungan Indonesia pada 19 November depan untuk aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Kredit Featured Image: FAM