Tampil menggantikan Matthew Davies di posisi bek kanan ketika menewaskan Thailand 2-1 pada Khamis lalu, Syahmi Safari dilihat berpontensi untuk disenaraikan lagi apabila skuad negara akan kehilangan kapten Pahang itu akibat penggantungan.
Malaysia akan berdepan Indonesia pada Selasa untuk aksi ke-5, Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Harimau Malaya sedang memburu mata penuh kedua selepas membenam Thailand.
Begitupun, Syahmi Safari telah mengalami kecederaan pangkal peha yang turut memaksanya dikeluarkan pada penghujung perlawanan menentang Thailand tempohari, menyaksikan yang khidmatnya untuk aksi menentang Indonesia turut diragui.
Ketika ditemui Bernama pada sesi latihan sejurus aksi menentang Gajah Perang, pemain berusia 21 tahun itu menjelaskan yang kecederaannya tidak terlampau serius dan mampu pulih dalam masa terdekat, sebelum aksi Derbi Serumpun pada Selasa.
Namun, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilihat sedang menyediakan perancangan lain sekiranya Syahmi Safari gagal pulih dan cergas untuk perlawanan seterusnya nanti.
Bercakap kepada New Straits Time, pengendali berusia 51 tahun itu masih belum panik kehilangan beberapa tonggak dan akan tampil dengan perancangan lain sekiranya diperlukan.
“Saya berharap Syahmi [Safari] akan pulih sebelum perlawanan kerana kecederannya tidak terlalu serius. Namun, kita juga sedang merangka perancangan lain untuk berdepan perlawanan selepas ini. Masih ada masa,” ujarnya yang ditemui sejurus sesi latihan.
Bek sayap Selangor itu sudah jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya sekiranya Matthew Davies berada dalam senarai bersamanya namun, kelibatnya kembali dalam kesebelasan utama ketika menentang Thailand.
Perbezaan pendekatan perlawanan akan melihatkan samaada Tan Cheng Hoe akan memasukkan Syahmi Safari ataupun Matthew Davies untuk perlawanan tersebut. Ini kerana, kelebihan Syahmi Safari adalah kemampuannya meledak rembatan deras sementara Matthew Davies memiliki hantaran tepat ke dalam kotak penalti.
Malaysia ketika ini berada di kedudukan ke-4 kumpulan dengan enam mata, berkongsi mata bersama UAE. Vietnam gah di puncak kumpulan dengan 10 mata, diikuti Thailand dengan tujuh mata. Indonesia pula di dasar kumpulan tanpa sebarang mata.
Kredit Featured Image: AFF Suzuki 2018