Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi peringatan kepada barisan pemainnya agar lebih berjaga-jaga ketika berdepan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Menurutnya, Thailand dibawah bimbingan Akira Nishino adalah berbeza dengan skuad yang ditentang Malaysia pada penghujung tahun lalu di dalam aksi separuh akhir Piala AFF 2018 – Malaysia menang dan layak ke pentas akhir hasil gol di tempat lawan, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat.
Ketika itu, dibawah kendalian Milovan Rajevac, Gajah Perang tidak membawa bintang yang beraksi di Liga Jepun (J1 League).
“Kita tahu Thailand membawa barisan [pemain] yang kuat, yang utama dan pada masa yang sama, kita kena beri tumpuan yang agak berlainan kali ini kerana kita tahu pasukan Thailand adalah berbeza dengan pasukan yang kita tentang tahun lepas.
“Tahun lepas dan tahun ini sudah tentu berbeza sekali. Dalam masa setahun, Thailand ada jurulatih baharu ternama yang membimbing pasukan di Piala Dunia,” ujar Tan Cheng Hoe dalam sidang media.
Ketika ditanya mengenai perubahan yang dirancang oleh barisan kejurulatihan serta penambahbaikkan yang perlu dibuat, Tan Cheng Hoe menegaskan mereka tidak hanya fokus kepada posisi tertentu namun, keseluruhan posisi pasukan perlu diberikan perhatian.
Ini kerana, Malaysia akan turun menentang pendahulu Kumpulan G yang baru sahaja mengejutkan UAE tempohari. Thailand berada di kedudukan teratas kumpulan dengan tujuh mata, berkongsi mata dengan Vietnam. Malaysia di kedudukan keempat dengan tiga mata, tiga mata di belakang UAE di kedudukan ketiga.
“Sebagai jurulatih, saya sentiasa mahu memperbaiki pasukan ini dan tidak hanya fokus kepada satu, dua posisi tetapi membaiki keseluruhan pasukan,” jelasnya lagi sambil menyatakan semua pemainnya perlu turun dengan taktikal dan sikap yang betul.
“Ini satu motivasi baik untuk pemain. Pada masa yang sama kita perlu bersedia dengan kemampuan Thailand, terutamanya jentera serangan mereka yang bagus dan memiliki pemain-pemain muda yang meningkat naik,” tutur pengendali berusia 51 tahun itu lagi.
“Paling penting, pemain saya akan turun dengan sikap dan taktikal disiplin yang betul. Untuk berjaya, kita perlukan sokongan semua pemain dalam perlawanan esok,” ujar Tan Cheng Hoe.
Malaysia memburu tiga mata penuh dalam aksi di halaman sendiri namun, berdepan pasukan yang dibarisi bintang yang bermain di J1 League sudah tentu sedikit menyukarkan tetapi tidak mustahil.
Kredit Featured Image: Aremilworks