Menurut laporan Vietnam Plus, pengendali Vietnam, Park Hang-seo dipetik berkata akan ‘menambah baik’ skuadnya untuk mengatasi Malaysia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, pada Khamis.
Ini kerana, baginya, tiada guna untuk mereka mengubah taktikal pada ketika ini melainkan menambah baik kekuatan sedia ada para pemainnya untuk mengganggu persediaan skuad Malaysia.
“Mustahil [buat kami] menukar segala taktikal, tetapi kami perlu meningkatkan kemampuan ‘senjata’ kami yang telah diketahui mereka dan perubahan ini akan mengganggu mereka [dalam permainan],” jelas Park Hang-seo sambil menyatakan fokus Naga Emas ketika ini adalah untuk mencari titik lemah Malaysia.
“Pada masa yang sama, kami sedang mencari titik lemah Malaysia dan akan menyerangnya [semasa perlawanan],” tambahnya lagi.
Selain itu, Park Hang-seo mengakui menghantar pemerhatinya ketika Malaysia tewas kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan lalu dan mengakui skuad Malaysia kini ‘berwajah baru’.
Menjelaskan jentera serangan skuad Harimau Malaya berlainan berbanding skuad yang ditentangnya pada Disember tahun lalu di mana beliau dan pembantu bersetuju, Malaysia lebih tajam.
“Pembantu saya, Lee Young-jin telah turun ke Malaysia untuk menyaksikan permainan mereka menentang UAE pada bulan lalu dan saya juga telah menonton rakaman perlawanan tersebut.
“Saya lihat beberapa perubahan dalam skuad tersebut dan jentera serangan mereka tampak tajam berbanding ketika Kejohanan AFF. Mereka juga [pastinya] telah melihat permainan kita, mengkaji kekuatan kita dan bagaimana untuk mengekangnya,” ujarnya.
Vietnam ketika ini dalam misi memburu kemenangan pertama mereka selepas terikat tanpa jaringan menentang Thailand dalam aksi pertama Kumpulan G, bulan lalu. Ini juga merupakan aksi pertama mereka di halaman sendiri sepanjang tahun 2019.
Mungkin disebabkan itu, penjualan tiket bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila telah diumumkan habis dijual pada 19 September lalu. Sebanyak 20 ribu keping tiket telah dibuka untuk jualan.
500 keping diperuntukkan untuk warga kurang upaya dan veteran perang, 2 ribu keping tiket lagi dibuka untuk penyokong pelawat. Bakinya adalah untuk wakil-wakil FIFA, AFC dan penaja-penaja.
Kredit Featured Image: Vietnam Football Federation