Tewas dalam semua empat perlawanan kelayakan dan baru sahaja memecat pengendali pasukan, Indonesia hadir awal ke Malaysia dengan rombakan ke atas skuad untuk aksi seterusnya Kumpulan G, menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Pengendali sementara, Yeyen Tumena membuat sedikit perubahan untuk skuad yang akan berentap dalam Derbi Serumpun pada Selasa depan, dengan menggugurkan beberapa nama yang pernah beraksi dalam empat aksi kelayakan sebelum ini antaranya Andik Vermansyah, Beto Goncalves, Evan Dimas dan Stefano Lilipaly.
Mereka digantikan dengan pemain yang kali pertama bersama skuad kebangsaan iaitu Teuku Ichsan, Ardi Idrus dan Teja Paku Alam. Evan Dimas dikhabarkan sedang berlatih bersama skuad B-23 untuk Sukan SEA 2019 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Selain Evan Dimas, seorang lagi pemain senior yang digugurkan untuk bersama skuad muda Indonesia adalah penyerang, Beto Goncalves yang telah meledak dua gol ketika tewas kepada Malaysia dalam aksi sebelum ini di Gelora Bung Karno.
Indonesia telah membuat sedikit kelainan apabila membuat latihan pusat skuad Sang Garuda di Malaysia dan menarik untuk dilihat adakah kaedah yang diterapkan Yeyen Tumena akan berhasil.
Selain itu, mereka turut mengadakan satu aksi pemanas badan di Petaling Jaya iaitu menentang PKNS FC B-21 pada Khamis lalu yang menyaksikan Indonesia menang dengan keputusan 3-0.
Indonesia dijangkakan akan mempertaruhkan Irfan Bachdim selaku penggempur utama bergandingan bersama Lerby Eliandry dan Septian David Maulana untuk memburu jaringan gol.
“Ini bukanlah semata-mata skuad B-21 PKNS FC. Terdapat lapan, sembilan bekas pemain skuad kebangsaan Malaysia dalam skuad tersebut. Bagus untuk melihat hasil dua hari latihan kita di sini.
“Para pemain sudah memahami perancangan untuk aksi pada 19 November ini. Alhamdulillah, walaupun hujan dan licin, permainan sedikit keras, tetapi tiada yang cedera,” jelas Yeyen Tumena.
Menurutnya lagi, masih terdapat masalah kepada sentuhan di jentera serangan Sang Garuda, terutamanya ketika memenangi bola dan juga menekan pihak lawan di defensive third lawan.
“Kami melihat masih belum ada ketajaman di jentera serangan seperti untuk memenangi bola dan lebih tajam di kawasan lawan serta keserasian di kalangan pemain. Semua pemain tidak pernah bermain bersama, jadi perlukan masa bermain bersama.
“Kenapa kami bermain tiga babak [menentang PKNS FC]? Kami mahu pemain menyesuaikan diri dengan fasa 30 minit setiap babak. Ini untuk mencari pemain yang boleh kami harapkan untuk posisi tertentu,” tambahnya dipetik menerusi portal Topskor.
Begitupun, hasil semakan di laman Facebook rasmi PKNS FC, hanya Mahali Jasuli merupakan bekas pemain skuad kebangsaan yang beraksi dalam perlawanan tersebut dan dilantik sebagai kapten.
Kredit Featured Image: IG Timnas Garuda Indonesia