Untuk melonjak semangat para pemain, Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) telah menawarkan ganjaran besar kepada para pemain dan jurulatih sekiranya berjaya menewaskan Malaysia diikuti Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Berdasarkan sumber daripada Siam Sport, kesemua staf dan pemain akan menerima ganjaran $263,000 (RM1.08 juta), jika menang ke atas Malaysia, sementara ganjaran menewaskan Vietnam pula akan diumumkan selepas perlawanan dengan Malaysia dan dijangkakan ianya akan lebih lumayan.
‘Bonus’ itu diharapkan akan membantu Thailand untuk mengatasi kedua-dua pasukan kerana mereka bakal bertandang ke tempat lawan untuk meneruskan dua aksi kelayakan pada bulan ini.
Pada Khamis ini, Gajah Perang akan bertemu Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil dan pada 19 November depan, mereka bakal berkunjung ke Stadium My Dinh untuk bertemu Vietnam.
Ketika ini, Thailand menerajui Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan tujuh mata, berkongsi mata bersama Vietnam dan diikuti rapat UAE yang mengumpul enam mata di kedudukan ketiga. Malaysia dengan tiga mata di kedudukan ke-4.
Dua kemenangan ke atas Malaysia dan Vietnam akan memberikan keselesaan untuk mereka meneruskan baki tiga perlawanan iaitu dua aksi di gelanggang sendiri (berdepan Indonesia dan Malaysia) dan satu aksi di gelanggang lawan (menentang UAE) selepas ini.
Dengan UAE dianggap pilihan untuk menjuarai aksi kumpulan ini, Thailand dikhabarkan akan cuba untuk meraih mata terbaik bagi memburu kedudukan kedua terbaik di belakang UAE.
Begitupun, aksi menentang Malaysia dan Vietnam bukanlah mudah dengan Malaysia sedang memburu tiga mata untuk membaiki kedudukan dan pastinya beraksi di halaman sendiri memberikan kelebihan buat Harimau Malaya. Untuk Vietnam, mereka sangat ampuh di halaman sendiri dan ini akan menyukarkan Thailand.
Dua pertembungan terakhir Thailand dengan Malaysia adalah pada saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu, dimana menyaksikan dua keputusan seri dicatatkan. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Bukit Jalil sebelum terikat 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Menariknya, menurut laporan itu lagi, Thailand di bawah kendalian Akira Nishino ini jauh lebih baik berbanding skuad yang terikat dengan keputusan seri pada penghujung tahun lalu itu.
Kredit Featured Image: AFF 2018