Kelayakan Piala Dunia: Ekanit Panya Menyerlah Bantu Thailand Kejutkan UAE

Teerasil Dangda Thailand UAE Kelayakan Piala Dunia

Stadium Thammasat, Pathum Thani, menjadi saksi kemenangan berharga Thailand ke atas UAE dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 seterusnya mengambil alih takhta kumpulan. Thailand menang tipis 2-1 ke atas UAE, sebentar tadi.

Pemain sayap berusia 19 tahun, Ekanit Panya – yang membuat bantuan gol untuk jaringan pertama, muncul wira buat Gajah Perang apabila jaringannya di minit ke-51 memberikan tiga mata penuh buat tuan rumah dan kekalahan pertama buat UAE.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Thailand selepas terikat tanpa jaringan menentang Vietnam dalam aksi sulung dan menang 3-0 ke atas Indonesia pada September lalu.

Thailand membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi penyerang veteran, Teerasil Dangda yang menanduk deras hantaran kemas Ekanit Panya menewaskan Khalid Essa untuk gol pembukaan.

Teerasil Dangda yang membuat kemunculan ke-103 bersama Thailand berhasil mencetak jaringan ke-46 peribadinya dalam perlawanan yang dijangkakan sukar buat mereka ini. Begitupun, UAE yang dilihat lebih bergelut berbanding tuan rumah biarpun pemain licik, Omar Abdulrahman diberikan tugas sebagai kapten.

Sebelum itu, pemain tengah, Sarach Yooyen membuat percubaan jarak jauh untuk menguji penjaga gol UAE namun tendangan deras itu berjaya ditepis penjaga gol berpengalaman The Whites itu.

Thailand lebih banyak menghasilkan percubaan apabila benteng lawan tampak gugup membendung setiap asakan yang diterima. Selepas jaringan pertama tersebut, Gajah Perang hadir memberi amaran lagi apabila dua kali mengegar palang gol pelawat.

Omar Abdulrahman gagal menghadirkan sentuhan magisnya apabila kerap kali hantaran-hantaran lolosnya kepada jentera serangan berjaya dikekang dan paling hampir menerusi sepakan percumanya yang sekadar melewati palang di minit ke-35.

Akhirnya, di masa kecederaan babak pertama, penjaring terbanyak UAE, Ali Mabkhout berjaya menanduk masuk jaringan penyamaan hasil hantaran lintang Al-Hassan Salleh dari sebelah sayap kiri – jaringan ke-6 peribadinya di pusingan kelayakan kali ini.

Jaringan tersebut memberikan kelegaan sementara buat Bert van Marwijk dan anak buahnya sebelum babak pertama berakhir. Dan di awal babak kedua, mereka kembali diasak Gajah Perang dan benteng mereka kali ini dilihat lebih tersusun menyerap asakan.

Walaubagaimanapun, sedikit kelalaian di benteng menyaksikan pemain sayap, Ekanit Panya berjaya menyelinap dan meledak gol kedua dan kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-51 selepas menerima hantaran lintang daripada Nitipong Selanon – gol pertamanya dalam penampilan ke-4 bersama Thailand.

UAE cuba bangkit memburu jaringan penyamaan namun segalanya tidak menjadi apabila Thailand terus menguasai perlawanan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan berharga.

Thailand di takhta Kumpulan G, berkongsi 7 mata dengan Vietnam yang juga merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Indonesia. UAE di kedudukan ketiga dengan 6 mata, 3 mata di depan Malaysia. Indonesia terus menghuni dasar kumpulan tanpa sebarang mata.

Kredit Featured Image: EPA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN