Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap skuad Harimau Malaya dapat menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang bermula Jumaat depan (7 Jun).
Beliau mencabar anak buah Tan Cheng Hoe itu mencatat kemenangan selesa tanpa bolos memandangkan aksi timbal balik menentang Timor Leste akan berlangsung di gelanggang sendiri.
“Sebagai tuan rumah, kita kena menang selesa tanpa dibolosi. Ini amanat saya kepada pemain dan Tan (ketua jurulatih Tan Cheng Hoe). (Jika dibolosi) ia akan dikira untuk aksi timbal balik pada 11 Jun (aksi kedua Timor-Leste sebagai tuan rumah).
“Kita faham bila perlawanan nampak senang tapi sebenarnya sukar…kadang-kadang kita terlampau teruja sampai susah dapat gol. Barisan pemain telah dimaklumkan supaya bermain mengikut tempo pasukan dan mendapatkan gol tanpa terdesak serta tidak dibolosi. Itu misi kita pada perlawanan pertama,” katanya seperti dipetik dalam Sukan Sinar.
Amanat itu juga sejajar dengan pesanannya kepada pemain yang berkorban cuti panjang bersama keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pengorbanan diperlukan…dalam mana-mana perjuangan, pengorbanan diperlukan untuk kita berjaya. Jadi perlunya pengorbanan daripada semua pegawai dan pemain. Maknanya untuk Hari Raya mereka akan dilepaskan sehari sebelum dan petang raya pertama kita dah mula berlatih,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidin turut mengakui skuad Harimau Malaya sedang melalui fasa kemasukan ramai pemain muda terutama daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23).