Hanya beberapa hari sahaja lagi skuad negara akan berdepan dengan pasukan Indonesia untuk perlawanan kelima Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini. Namun apa yang membimbangkan kini adalah isu kecederaan dan penggantungan beberapa pemain utama.
Dua pemain iaitu penyerang Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies telah pasti tidak akan diturunkan dalam aksi ini kerana perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas masing-masing mengutip kad kuning kedua sewaktu bertemu Thailand pada Khamis lepas.
Seorang lagi pemain pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari yang beraksi dalam kesebelasan utama tempoh hari pula mengalami kecederaan pangkal peha dan dikeluarkan dalam perlawanan berkenaan sebelum digantikan dengan Matthew Davies.
Harimau Malaya Kembali Fokus Untuk Berdepan Indonesia
Skuad Tan Cheng Hoe menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi persiapan menghadapi aksi #AsianQualifiers seterusnya bertemu Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/X8UoTcnpkD
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 16, 2019
Namun demikian, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak gusar menghadapi perkara berkenaan dan beliau yakin dengan pemain lain yang menurutnya mampu menggalas tugas dalam memberikan aksi terbaik apabila berdepan skuad Garuda itu nanti.
“Barisan kejurulatihan ketika ini tidak fikirkan untuk dapatkan pemain gantian dalam masa terdekat, kerana kita tahu sekiranya saya panggil secara mengejut, saya risau ia akan memberi tekanan kepada pemain berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama, pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Tambah Cheng Hoe lagi, beliau tidak mahu anak buahnya dibuai mimpi indah terlalu lama selepas berjaya membuat kejutan ke atas pasukan Thailand dalam perlawanan baru-baru ini.
Menurutnya semua pemain harus bersedia dan berwaspada dengan Indonesia yang diibaratkan seperti seekor singa yang terluka kerana mereka masih gagal meraih sebarang mata setelah mengalami empat kekelahan berturut-turut dalam kempen kelayakan ini.
Kelayakan Piala Dunia: Muhammad Ridho Mahu Tebus Kekalahan Kepada Malaysia – https://t.co/YtRpZ8IZx7 pic.twitter.com/rEfKFj5uvp
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 16, 2019
Indonesia akan beraksi buat kali pertama di bawah pucuk pimpinan baharu Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan kini dibimbing oleh pengendali sementara, Yeyen Tumena.
Oleh yang demikian, Cheng Hoe percaya ianya akan menjadi pembakar semangat baru pasukan itu dan beberapa pemain baharu yang dipanggil akan memberikan impak yang berbeza.
Sementara itu, Syahmi Safari yang dicalonkan sebagai Pemain Muda Harapan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 dalam responnya berkata, beliau sedia diturunkan dalam perlawanan menentang Indonesia sekalipun kecederaan beliau masih belum pulih sepenuhnya.
Kedudukan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023
Kumpulan G
(Selepas Hari Perlawanan 5)* Seterusnya Hari Perlawanan 6 pada Selasa, 19 November 2019:
MALAYSIA 🇲🇾 lwn 🇮🇩 INDONESIA
VIETNAM 🇻🇳 lwn 🇹🇭 THAILAND#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/T8FEFKlB25— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 15, 2019
“Kecederaan ini tidak serius dan InsyaAllah, ia akan pulih dalam masa terdekat, dan sekiranya saya diturunkan menentang Indonesia nanti, saya akan beri sehabis baik dan dapat beri impak positif kepada pasukan kebangsaan,” jelas pemain yang menerima anugerah gol terbaik pada Malam Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu.
Kemenangan Malaysia akan mencerahkan peluang untuk ke pusingan seterusnya selepas pasukan lain seperti UAE juga kini bergelut dengan penurunan prestasi selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada Vietnam tempoh hari.