Malaysia secara rasminya telah pun mencatat kekalahan sulung mereka dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 peringkat Kumpulan D di tangan Oman menerusi keputusan 0-2.
Harimau Malaya yang bermula dengan begitu positif sejak dua perlawanan lalu untuk mengumpul enam mata maksima, terpaksa menerima hakikat kekalahan sulung mereka dalam saingan itu.
Pada perlawanan tersebut, Oman mendapat dua gol melalui Issam Al-Sabhi pada minit ke-58 sebelum Muhsen Al-Ghassani menutup peluang kebangkitan Malaysia melalui ledakannya pada minit ke-88.
Kekalahan itu kini meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan D, dengan mereka kekal untuk meraih enam mata sahaja secara keseluruhan di belakang Oman serta Kyrgyzstan.
Aksi timbal balik bakal berlangsung pada 26 Mac ini pula di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam misi skuad kebangsaan untuk kembali mendapatkan mata penting demi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.
Secara keseluruhan, Malaysia tampil dengan begitu banyak masalah sepanjang aksi berlangsung dengan pelbagai kesilapan ditampilkan skuad kendalian Kim Pan-gon sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung.
Pertahanan begitu goyah
Barisan pertahanan negara jelas tampil begitu goyah sepanjang aksi berlangsung, dengan mereka membuka begitu banyak ruang buat lawan untuk cuba mencipta sesuatu berbahaya buat gawang gol Malaysia.
Skuad kebangsaan jelas perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi yang tampil cemerlang untuk menafikan banyak percubaan dibuat pasukan tuan rumah.
Pemain seperti Daniel Ting serta Dion Cools beraksi di bawah tahap sebenar mereka pada saingan tersebut serta beberapa kali situasi menyaksikan kesilapan individu pertahanan negara memberi peluang besar buat Oman cuba mencipta jaringan.
Penguasaan tengah kurang mencengkam
Gandingan awal membabitkan antara Stuart Wilkin bersama Brendan Gan jelas tidak memberi pengaruh positif buat pasukan negara daripada segi keseimbangan pertahanan serta serangan di separuh masa pertama.
Malah, persefahaman antara kedua pemain itu untuk menjadi perancang utama Malaysia juga tidak begitu dirasai apabila pasukan lawan begitu mudah mengeksploitasi posisi tengah sepanjang aksi berlangsung.
Pertukaran pemain dibuat untuk membawa masuk Paulo Josue bersama Endrick dos Santos juga tidak mengubah banyak perkara dengan beberapa kesilapan individu jelas dapat dilihat pada aksi itu.
Kombinasi serangan tidak kreatif
Gandingan awal membabitkan antara Faisal Halim bersama Romel Morales serta Arif Aiman Hanapi tidak begitu memberi kesan pada aksi ketiga bagi siri kelayakan ini dengan setiap gerakan dibuat mereka mudah dibawa lawan.
Faisal dan Arif terlalu lama membuat kawalan individu setiap kali mendapat bola sehingga menyaksikan peluang untuk mereka melepaskan percubaan atau hantaran kepada Morales berjaya digagalkan pertahanan lawan.
Kemasukan Darren Lok bersama Akhyar Rashid juga tidak mengubah apa-apa dengan setiap perancangan cuba dibuat mudah dibawa lawan serta sudut kreativiti serangan negara dilihat begitu terbatas.