Saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi peringkat Kumpulan D akhirnya bakal bermula hari ini dengan perlawanan tumpuan membabitkan skuad kebangsaan bertemu Republik Kyrgyz.
Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu menyaksikan Malaysia memiliki misi penting untuk memastikan kemenangan sulung dapat diraih untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kim Pan-gon yang merupakan pengendali utama skuad kebangsaan pastinya kini menjadi individu paling sibuk untuk mempersiapkan para pemain terbaik bagi menghadapi cabaran pelawat.
Apatah lagi Republik Kyrgyz juga boleh dianggap memiliki reputasi tersendiri dalam sukan bola sepak di pentas antarabangsa serta kedudukan ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.
Pastinya Kim tidak rela menghadapi kekalahan seterusnya bersama skuad kebangsaan kali ini, dengan persediaan rapi dilakukan kleh jurulatih tersebut.
Untuk aksi kali ini, beberapa rombakan pemain telah dibuat oleh jurulatih tersebut dan ada yang dianggap mampu memberi impak besar buat skuad kebangsaan.
Afiq Fazail
Pemain tengah tempatan paling berpengaruh dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kini paling mencuri tumpuan, selepas buat pertama kali nama beliau dipanggil untuk menyertai kem kebangsaan.
Bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) Afiq sudah pun membuktikan kemampuan beliau untuk menjadi nadi penting buat pasukan dalam setiap perlawanan dengan sangat menyakinkan.
Kreativiti beliau dalam mengatur serangan serta tenang mengawal tempo permainan menjadikan Afiq sebagai aset penting buat Kim malam ini dalam senarai kesebelasan utama Malaysia.
Faisal Halim
Pemain serangan lincah ini sudah tentu akan terus menjadi pertaruhan penting Kim pada perlawanan tersebut, kerana skuad kebangsaan pastinya ingin memburu gol sebanyak mungkin untuk mengatasi lawan.
Momentum Faisal bersama Harimau Malaya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi kerana persembahan beliau dalam setiap perlawanan sangat menyakinkan dan sentiasa mendapat pujian para penyokong setia negara.
Kelincahan beliau dalam menggerakan bola ke hadapan pastinya ditagih malam ini untuk memastikan serangan pasukan kebangsaan sentiasa lancar sepanjang perlawanan berlangsung.
Ahmad Syihan Hazmi
Nama Syihan mungkin sedikit tenggelam sejak beberapa bulan lalu bersama kem kebangsaan termasuk dalam saingan Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu.
Namun, pemain ini berjaya bangkit dengan prestasi sangat menakjubkan bersama JDT selepas itu dalam saingan AFC Champions League (ACL) menerusi kualiti dipamerkan cukup memukau.
Bagi perlawanan malam ini, Syihan pastinya ingin membuktikan diri beliau masih lagi layak untuk memegang takhta penjaga gol nombor 1 negara berdepan Republik Kyrgyz.