Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Tiada Piala Dunia Untuk Saido Berahino

Saido Berahino, antara nama yang agak dikenali apabila pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris sudah sah terlepas aksi Piala Dunia edisi 2022.

Malang buat beliau bersama pasukan kebangsaannya, Burundi setelah gagal mara ke pusingan kedua kelayakan bagi zon Afrika.

Berahino kini beraksi dengan kelab Belgium, Zulte Waregem setelah meninggalkan Stoke City pada pertengahan tahun ini.

Tersungkur

Pada perlawanan pertama, Burundi yang diundi bersama Tanzania terikat 1-1. Perlawanan kedua menyaksikan kedua-dua pasukan turut seri 1-1.

Dek kerana agregat terikat 2-2, perlawanan terpaksa dilanjutkan kepada masa tambahan. Tetapi, masih tidak ada pemenang dalam pertemuan ini.

Perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti. Berahino yang diberi mandat untuk sepakan penalti kedua Burundi gagal menyempurnakannya.

Rakan sepasukannya yang bekas pemain Newcastle United , Gael Bigirimana pun turut gagal menyumbat masuk ke dalam gawang. Akhirnya Tanzania menewaskan Burundi melalui sepakan penalti 3-0.

Angola bernafas

Angola yang pernah layak ke Piala Dunia 2006 bernafas apabila berjaya menewaskan Gambia menerusi agregat 3-1.

Pada perlawanan pertama di Gambia, Wilson Gaspar menjaringkan gol tunggal Angola untuk memisahkan skor.

Perlawanan kedua yang berlangsung pada semalam menyaksikan Geraldo dan Fabio Abreu ini menyumbangkan gol Angola masing-masing pada minit ke-41 dan minit ke-68. Gambia hanya meraih gol saguhati melalui Assan Ceesay sewaktu minit ke-65.

Togo bergelut

Satu lagi wakil Afrika yang pernah ke Jerman semasa Piala Dunia 2006, Togo berhempas pulas untuk menewaskan Comoros.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 semasa perlawanan pertama, Segalanya berubah sewaktu perlawanan timbal balik apabila Togo berjaya menewaskan Comoros.

Pemain pertahanan Comoros, Kassim M’Dahoma terjaringkan gol sendiri pada minit ke-10. Gilles Sunu menyumbangkan gol kedua perlawanan untuk Togo semasa minit ke-71.

Togo menewaskan Comoros menerusi agregat 3-1.

Pusingan kedua

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) bakal mengadakan undian pusingan kedua. 40 pasukan akan diasingkan kepada 10 kumpulan dengan menyaksikan satu kumpulan akan mempunyai 4 pasukan.

Setiap pasukan akan mengharungi 6 perlawanan. Juara setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga.

Afrika meraih 5 slot untuk Piala Dunia 2022.