Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Tan Cheng Hoe Harap Pemain Malaysia Tidak Terlalu Leka Beraya

Meskipun tarikh perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste telah ditukar pada 7 Jun iaitu pada hari raya ketiga, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap pemainnya tidak ‘terlupa’ misi penting yang bakal menanti mereka.

Malah, beliau turut memberi peluang kepada pemain meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga masing-masing sebelum menghadapi kedua-dua perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Pemain kemungkinan besar akan dilepaskan pada hari raya pertama tetapi saya harap mereka tidak terlalu leka beraya sehingga melupakan tugas penting ini.

“Memang kita perlu ambil kesempatan apabila kedua-dua perlawanan bermain di laman sendiri. Semua orang beranggapan menentang Timor Leste adalah aksi mudah buat pasukan negara tetapi tidak bagi saya.

“Dalam bola sepak, pasukan mana yang gagal memberikan permainan terbaik dan hilang fokus, mereka akan dihukum dan saya tidak mahu perkara itu berlaku kepada kami. Timor Leste beraksi baik pada Piala AFF tahun lepas dan mereka mempunyai semangat juang cukup tinggi,” katanya dalam Utusan Malaysia

FOTO: FAM

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berharap skuad Harimau Malaya manfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri dengan mencatat kemenangan dalam kedua-dua perlawanan.

“Takkan kita hendak meraikan Aidilfitri dalam mood pasukan negara kalah, lebih baik beraya dengan suasana gembira kerana menang. Biar sampai peminat yang bila bekunjung raya ke rumah saudara dan rakanpun, masih bercerita tentang kejayaan pasukan bola sepak kita.

“Inilah sambutan raya yang lebih bermakna, walaupun, akan ada kesan sedikit pada kehadiran penyokong kita di stadium,” katanya.