Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Guam Bangkit Untuk Belasah Bhutan 5-0

Pasukan kerdil, Guam telah berjaya melepasi cabaran di pusingan kelayakan pertama. Mereka telah menumbangkan Bhutan dengan cukup bergaya di hadapan ratusan penyokong sendiri, semalam.

Terdiam

Kekalahan 0-1 kepada Bhutan pada perlawanan pertama telah menjadi inspirasi untuk Guam bangkit. Bhutan hanya berkelebihan dengan satu gol tetapi gagal memanfaatkan peluang yang ada.

Gol pertama Guam dijaringkan oleh Isiah Lagutang pada minit ke-23. 4 minit kemudiannya, Jason Cunliffe meledak gol kedua Guam.

Tuan rumah mendahului perlawanan kedua pada tamat separuh masa pertama.

Cunliffe cemerlang

Shane Malcolm menambah gol ketiga Guam pada minit ke-51. Jason Cunliffe telah melengkapkan hari cemerlangnya dengan menjaringkan lagi dua gol. Cunliffe menemui sentuhan itu sewaktu minit ke-82 dan ke-90+4.

Ternyata ia hatrik bersejarah buat pemain berusia 35 tahun ini. Beliau difahamkan menjadi pemain di sebuah kelab yang bersaing dalam liga domestik Guam.

Semasa ditemuramah oleh Pacific Daily News, Cunliffe menyatakan beraksi di hadapan keluarga dan kawan memberikan semangat untuk beraksi lebih baik.

Cuaca panas membantu?

Cunliffe turut memberitahu bahawa cuaca panas turut membantu mereka melepasi cabaran Bhutan. Pemain tengah Guam itu memberitahu bahawa ada pemain Bhutan sudah mula goyah kerana tidak tahan cuaca panas.

Jurulatih Bhutan mengakui ada pemain yang dikendalikannya sudah mula keletihan. Perlawanan sebelum ini yang diadakan di India telah berlangsung dalam cuaca sejuk.

Nampaknya Guam bakal beraksi di peringkat kedua kelayakan zon Asia. Kali pertama mereka beraksi sewaktu pusingan kelayakan Piala Dunia edisi 2018.

Guam muncul pertama kali dalam sejarah kelayakan Piala Dunia ialah pada 2002. Tetapi, mereka tidak menyertai kempen kelayakan pada 2006, 2010 dan 2014.

Guam merupakan salah satu wilayah di bawah pentadbiran Amerika Syarikat yang diberikan kebenaran khas untuk menyertai FIFA.

Selain itu, tiga lagi wilayah khas Amerika Syarikat yang diberikan kebenaran menyertai badan induk bola sepak dunia iaitu Kepulauan Virgin Amerika, Samoa Amerika dan Puerto Rico.