Dalam apa sahaja yang kita lakukan, ia perlulah disertakan dengan disiplin tinggi dalam usaha mencapai sasaran diharapkan. Keadaan ini tidak terkecuali dipraktikkan dalam skuad kebangsaan Thailand.
Sejak mengambil alih tugasan ditinggalkan pengendali terdahulu, Milovan Rajevac pada Julai lalu, jurulatih dari Jepun ini telah menetapkan kod etika serta disiplin yang ketat perlu dipatuhi oleh semua pemain Thailand.
Antara yang diterapkan menurut sumber Bangkok Post ialah Nishino mengakui bahawa beliau tidak membenarkan anak buahnya menggunakan telefon pintar ketika sedang menjamu selera.
Dalam pada itu, pengendali berusia 64 tahun yang membawa skuad kebangsaan Jepun ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2018 itu juga mahu anak buahnya serta barisan kejurulatihan yang lain supaya menepati masa.
”Saya mahu mereka untuk berinteraksi dan bercakap antara satu sama lain. Kami bekerja sebagai satu pasukan dan semestinya kami memerlukan peraturan.”
”Saya tidak mahu untuk membawa budaya Jepun ke dalam pasukan Thailand. Saya cuba untuk menjadi lebih fleksibel.”
”Sekiranya mereka merasakan tidak selesa, kami boleh bercakap dan mempertimbangkan untuk membuat perubahan.”
Disiplin yang diterapkan Nishino itu mungkin sudah mula menunjukkan keberkesannya setelah Thailand mencipta kejayaan menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 serta turut menang bergaya 3-0 ke atas Indonesia dan meraih satu mata ketika terikat bertemu Vietnam.
Kredit foto: Changsuek