Kelayakan Piala Dunia 2018: Coretan Perjalanan ke Rusia

Secara rasminya, kelayakan Piala Dunia 2018 sudah pun tamat. Bersama tuan rumah, 31 negara telah berjaya menempatkan diri ke kejohanan berprestij dalam sukan bola sepak itu.

Kelayakan ini mengambil masa lebih 2 tahun 8 bulan. Suka duka, pahit maung serta manis dicatatkan dalam kelayakan Piala Dunia 2018 ini.

Penampilan sulung

Kosovo muncul pertama kali dalam saingan kelayakan. Sumber: FIFA

Bhutan dan Sudan Selatan membuat penampilan sulung dengan menurunkan pasukan dalam pusingan kelayakan. Bhutan beraksi dalam kelayakan di zon Asia, Sudan Selatan pula bermain kelayakan di zon Afrika.

Kelayakan zon Eropah menyaksikan debut sulung dua pasukan iaitu Gibraltar dan Kosovo. Rekod penyertaan pusingan kelayakan telah dipecahkan dengan menyaksikan 208 negara beradu tenaga daripada 211 ahli FIFA.

Rusia selaku tuan rumah layak automatik tanpa melalui pusingan kelayakan. Manakala baki 2 pasukan iaitu Indonesia dan Zimbabwe digantung keahlian FIFA sekaligus tidak layak bertanding dalam pusingan kelayakan.

Namun begitu, Kuwait juga ditunjuk jalan keluar semasa sesi kelayakan berjalan berikutan perkara yang tidak dipatuhi oleh persatuan bola sepak negara mereka.

Pertama

Aksi Timor Leste menentang Mongolia. Sumber: FIFA.

Zon Asia menjadi zon pertama yang terlebih dahulu mengadakan perlawanan kelayakan.Buat pertama kali juga, pusingan kelayakan zon Asia menggabungkan kelayakan Piala Dunia dengan Piala Asia.

Perlawanan pertama menyaksikan Timor Leste menentang Mongolia pada 12 Mac 2015. Chiquito do Carmo menjadi penjaring gol pertama pusingan kelayakan dengan menjaringkan gol untuk Timor Leste.

Timor Leste menewaskan Mongolia 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Penjaring terbanyak

Mohammad al-Sahlawi, pemain Arab Saudi. Sumber; Zimbio.

Robert Lewandoski dari Poland menjadi penjaring terbanyak sesi kelayakan dengan 16 gol. Selain beliau, Ahmed Khalil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menjadi penjaring terbanyak.

Mohammad al-Sahlawi juga menempatkan diri dengan menjaringkan 16 gol sepanjang kempen kelayakan. Hanya Ahmed Khalil tidak dapat ke Piala Dunia 2018 kerana UAE kandas.

Pemain terkenal dunia, Cristiano Ronaldo menjadi penjaring kedua terbanyak dengan 15 gol.

2454 gol telah dijaringkan dengan purata 2.83 gol per perlawanan. Sebanyak 868 perlawanan kelayakan telah berlangsung.

Mara ke Rusia

Panama membuat penampilan sulung Piala Dunia.

Iceland dan Panama menjadi negara terbaru membuat penampilan sulung di pusingan akhir Piala Dunia. Kejutan lebih kepada Iceland kerana menjadi negara berpopulasi paling rendah di planet Bumi menyertai kejohanan ini.

Kejohanan kali ini juga menyaksikan beberapa negara membuat penampilan semula. Peru kembali ke saingan setelah kali terakhir beraksi pada edisi 1982. Selain itu, selepas 28 tahun menyepi, Mesir juga kembali ke kejohanan ini.

Maghribi turut mencuri tumpuan dengan berjaya menempatkan diri ke Piala Dunia 2018. Kali terakhir mereka bermain ialah pada kejohanan tahun 1998.

Kandas

Namun begitu, beberapa nama besar telah pun terkandas dalam ekspedisi ke Rusia. Itali tidak dapat mara ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 1958. Belanda juga terbabas daripada saingan. Selain itu, Amerika Syarikat juga gagal menyertai Piala Dunia pada kali ini.

Paling perit, 3 negara yang beraksi dalam Piala Konferedasi 2017 lalu turut gagal. Negara tersebut ialah Chile, Cameroon dan New Zealand.

Sekurangnya mereka sudah merasai nikmat bermain di Rusia setahun lebih awal, bukan?

Penutup

Rasanya kegagalan negara kita untuk mara lebih jauh tidak perlulah diceritakan lanjut. Tambahan pula, kisah lontaran suar ke stadium semasa kelayakan sebelum ini sudah menjadi tajuk utama berita di serata dunia.

Pasti anda semua tidak sabar menyaksikan Piala Dunia 2018. Pasukan manakah akan jadi pilihan anda, atau sedang merancang untuk memilih pasukan lain kerana pasukan sokongan anda telah terkeluar daripada saingan?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN