Kelayakan Piala Asia: Malaysia Gagal Raih Mata, Dikecewakan Gol Penalti Bahrain Di Hujung Perlawanan

Malaysia Bahrain Kelayakan Piala Asia

Meskipun cemerlang menguasai perlawanan, Malaysia terpaksa menelan hakikat kekalahan selepas tewas 2-1 kepada Bahrain dalam aksi kedua pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jaringan penalti Abdulla Yusuf Helal di hujung perlawanan menafikan peluang skuad kendalian Kim Pan-gon untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata meskipun terlebih dahulu mendahului pada awal babak kedua.

Menghadapi lawan yang berada jauh lebih tinggi dalam ranking dunia, Kim Pan-gon telah membuat perubahan yang agak ketara terhadap kesebalasan utama dengan hanya enam pemain yang dikekalkan berbanding aksi menentang Turkmenistan tempoh hari.

Menggunakan formasi 5-2-3, Khuzaimi Piee, Junior Eldstal dan Dion Cools ditugaskan untuk mengemudi barisan pertahanan dengan diapit oleh La’Vere Corbin-Ong serta Matthew Davies di bahagian bek sayap.

Syamer Kutty Abba yang menjadi pemain penting dalam sistem Kim Pan-gon terus kekal menjadi tonggak tengah pasukan dan digandingkan bersama Nazmi Faiz.

Bahagian serangan pula diketuai oleh Darren Lok terus diberi kepercayaan untuk menjadi penyerang utama sambil dibantu Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh.

Namun perubahan tersebut dilihat tidak mengganggu rentak persembahan yang ditampilkan ketika aksi pertama beberapa hari lalu.

Sejak dari awal, Malaysia rancak mengasak kubu pasukan pelawat dengan melakukan beberapa percubaan ke arah gol, namun, Bahrain juga sempat menguji penjaga gol negara Farizal Marlias dengan serangan balas.

Peluang terbaik Malaysia untuk memecah kebuntuan adalah menerusi Akyar Rashid yang berjaya membuat larian melepasi perangkap ofsaid sebelum rembatannya diselamatkan penjaga gol Sayed Mohamed Abbas.

Beraksi di permukaan padang yang basah dan berlecak akibat hujan lebat, Bahrain jelas bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka dan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia mengekalkan momentum positif dan hasilnya gol pertama untuk skuad negara terhasil pada minit ke-55 selepas Samareh berjaya mencari ruang untuk menolak masuk hantaran lintang Syamer Kutty dari sebelah kiri.

Bagaimanapun Bahrain hanya memerlukan dua minit untuk bertindak balas dengan gol penyamaan hasil jaringan Ali Abdala Haram yang bijak mengambil peluang keadaan kelam kabut di hadapan gawang Malaysia.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, kesilapan Farizal Marlias menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam kotak penalti menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan.

Peluang tersebut tidak dipersia-siakan oleh Abdulla Yusuf Helal yang cemerlang meletakkan Bahrain di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan menjadikan kedudukan 2-1.

Kemenangan kedua Bahrain meletakkan mereka di persada kumpulan E dengan enam mata dan mencerahkan peluang untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan dan layak secara automatik ke pusingan akhir.

Sementara Malaysia pula perlu memanfaatkan aksi terakhir berdepan Bangladesh untuk memburu slot naib juara terbaik.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN