Kelayakan Piala Asia: 5 Faktor Kemenangan Malaysia Mudah Atasi Cabaran Turkmenistan

Malaysia berjaya melakar kejutan apabila tampil garang di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam untuk mengatasi Turkmenistan dengan keputusan 3-1.

Dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan E, skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya mempamerkan aksi cukup mantap untuk mengatasi cabaran lawan biarpun Turkmenistan hadir dengan ranking lebih gah berbanding pasukan negara.

Ada lima faktor mengapa Malaysia mampu melakar kemenangan atasi ancaman Turkmenistan semalam.

Kombinasi empat pertahanan yang stabil

Pan-gon tampil dengan menggunakan empat pemain pertahanan semalam apabila menyenaraikan Matt Davies, Dion Cools, Shahrul Saad, dan La’vere Corbin Ong.

Gandingan Cools dan Shahrul Saad nyata amat kebal untuk dipecah masuk oleh rangkaian serangan lawan biarpun ada sedikit kesilapan sehingga menyebabkan gawang gol bocor.

Kelibat Corbin Ong selaku pertahanan negara wajar dipuji

Peranan Davies dan Corbin Ong yang sering membantu serangan juga tidak menjadi masalah buat negara apabila mereka turun tepat pada masanya ketika Malaysia diserang.

Kepimpinan dan ketangkasan Farizal Marlias

Memainkan peranan selaku kapten pasukan, menjadikan Farizal lebih lantang bersuara memberi arahan buat rakan-rakannya dari gawang gol.

Walaupun bolos satu gol, Farizal tetap cemerlang selaku penjaga gol utama negara

Selain itu, ketangkasan beliau berjaya menyelamatkan keadaan Malaysia daripada dibolosi serta cepat untuk menutup segala ruang dari dalam petak penalti.

Azam Azih dan Syamer Kutty nadi utama skuad kebangsaan

Gandingan kedua pemain tengah ini nyata wajar diberi pujian apabila mereka langsung tidak membenarkan lawan untuk menguasai permainan sewenang-wenangnya sejak awal perlawanan berlangsung.

Azam nyata bijak mengawal tempo serangan skuad kebangsaan dengan tenang.

Beliau mengawal kawasan tengah serta sering berada di serata padang untuk menerima dan menghantar bola.

Tenang dan matang untuk mengawal posisi tengah bersama Syamer

Syamer pula boleh dikatakan berada dalam kelas tersendiri pada perlawanan tersebut setelah cepat untuk merampas bola dari pihak lawan di kawasan tengah serta merosakkan pergerakan yang cuba diatur oleh pemain Turkmenistan.

Arif Aiman hadir selaku ancaman besar buat pertahanan Turkmenistan

Kelibat pemain muda ini nyata sukar dipertikaikan lagi sepanjang perlawanan berlangsung apabila kelincahan Arif sering memberi masalah besar buat pertahanan lawan untuk mengepung dirinya daripada memasuki kawasan petak penalti Turkmenistan.

Kelincahan Arif sering memberi masalah buat pertahanan lawan

Arif juga menjadi salah satu faktor terhasilnya gol kedua perlawanan menerusi Faisal Halim setelah tindakan beliau yang cepat merampas bola daripada pertahanan lawan membuka ruang buat Faisal meledak jaringan untuk Malaysia mendahului dengan selesa.

Suara Penyokong ke-12 terlalu menyeramkan buat pemain Turkmenistan

Skuad kebangsaan ibarat mendapat tonik tambahan untuk memberi aksi lebih bertenaga setelah mendapat sorakan padu daripada penyokong setia Harimau Malaya.

Kehadiran ramai penyokong berjaya menyuntik motivasi skuad kebangsaan

Kehadiran ramai penyokong dengan laungan lantang yang bergema di dalam SNBJ nyata sedikit sebanyak menghadirkan rasa gerun buat pemain Turkmenistan untuk beraksi lebih bagus.

Lebih manis, sorakan tersebut terus bergema sejak awal perlawanan sehingga ke wisel penamat untuk memberikan satu atmosfera yang dahsyat sepanjang permainan berlangsung.

Penguasaan secara ‘total’

Walaupun begitu, kesemua para pemain sebenarnya berjaya menjalankan tugas dengan baik sepanjang perlawanan berlangsung untuk mengatasi cabaran Turkmenistan.

Kelibat pemain lain seperti Faisal Halim dan Darren Lok antara yang turut mencuri tumpuan apabila kedua pemain ini berjaya menghidupkan serangan dengan baik untuk memberi tekanan buat pertahanan lawan.

Aksi Faisal Halim wajar dipuji kerana kesungguhan beliau di atas padang sepanjang perlawanan

Moga kemenangan ini menjadi titik tolak kebangkitan baharu dalam sukan bola sepak tanah air kita supaya melangkah lebih jauh untuk kembali menjadi salah satu jaguh di Asia Tenggara.

Kredit foto: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN