Jerman menepati ramalan menjadi pasukan seterusnya yang layak secara automatik ke kejohanan EURO 2020 setelah mudah menumpaskan Belarus 4-0 dalam perlawanan awal pagi tadi di Borussia-Park, Monchengladbach.
Dua gol dari pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos serta satu gol oleh Mattias Ginter dan Leon Goretzka memberikan tiga mata penuh buat pasukan itu.
Germany and Belarus shared a minute's silence for former goalkeeper Robert Enke, who took his own life 10 years ago this month pic.twitter.com/W9BhoQFGrA
— B/R Football (@brfootball) November 16, 2019
Skuad kendalian Joachim Low itu jelas menguasai permainan sepanjang perlawanan namun terpaksa menunggu hingga minit ke-41 untuk memecah kebuntuan menerusi Ginter yang menjaringkan gol menerusi sepakan menggunakan tumitnya selepas menerima hantaran lintang rendah dari Serge Gnabry.
Goretzka kemudian menggandakan kedudukan buat tuan rumah dengan memanfaatkan sepakan penjuru oleh Toni Kross pada awal separuh masa kedua sebelum Kroos mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga hasil rembatan dari luar kotak penalti.
Ketinggalan tiga gol tidak mematahkan semangat Belarus untuk cuba bangkit. Pasukan itu berpeluang untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika permainan berbaki 15 minit apabila Robin Koch menjatuhkan Pavel Nyakhaychyk dalam kotak penalti.
We made it! @DFB_Team #Euro2020 pic.twitter.com/BextThqfqv
— Leon Goretzka (@leongoretzka_) November 16, 2019
Namun kecekapan Manuel Neuer yang melayangkan badannya ke kanan pintu gol berjaya menafikan rembatan padu Ihar Stasevich untuk memastikan Die Manschaft tidak dibolosi dalam perlawanan ini.
Kross akhirnya menoktahkan kemenangan Jerman dengan gol keempat selepas menggelecek dua pemain Belarus di dalam kotak penalti sebelum melepaskan tendangan menewaskan penjaga gol Aleksandr Gutor yang hanya terpaku melihat bola masuk ke dalam gawangnya.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan C menyaksikan Ireland Utara dan Belanda terikat tanpa jaringan. Kapten Ireland Utara, Steven Davis terlepas peluang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan memusnahkan harapan pasukannya untuk layak secara automatik.
Northern Ireland 0 Netherlands 0: Oranje seal qualification for Euro 2020 https://t.co/FzyszCwpd2 pic.twitter.com/cOanHigou3
— Hollanda Bülteni (@bultenhollanda) November 16, 2019
Satu mata sudah cukup untuk Belanda menempah tiket ke kejohanan utama mereka sejak Piala Dunia 2014. Skuad Oranje masih berpeluang untuk memintas Jerman sebagai pendahulu kumpulan jika mereka menang ke atas Estonia dalam perlawanan terakhir pada Selasa.
Jerman akan menutup tirai pusingan kelayakan berdepan Ireland Utara di Frankfurt pada Selasa. Keputusan menang atau seri akan memberikan status juara kumpulan buat pasukan itu untuk kempen kelayakan ini.