Impian untuk meraih sekurang-kurangnya 1 mata tidak menjadi kenyataan apabila skuad kendalian Bojan Hodak mengalami kekalahan pertama dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19 selepas tumpas di tangan tuan rumah, Korea Selatan, 3-0 di Stadium Paju, hari ini.
Malaysia mudah dibolosi tiga gol dalam babak pertama, bermula dengan jaringan Um Wonsang yang membuat lonjakan tinggi pada minit ke-12 untuk menjaringkan gol pertama.
Anak buah Bojan Hodak cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi ketumpulan jentera serangan merencatkan peluang untuk membocorkan gawang Korea yang masih belum bolos sehingga kini.
Sekurang-sekurangnya tiga peluang terbaik hadir di separuh masa pertama menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam separuh masa pertama. Akif sempat melepaskan rembatan ke arah pintu gol Korea, namun sedikit tersasar.
Malaysia berupaya mendapatkan gol melalui penalti ada minit ke-20 apabila pemain tengah negara itu dijatuhkan di dalam kotak penalti tetapi pengadil perlawanan tidak mengendahkan rayuan penaltinya, sebelum pemain itu dikasari sekali lagi selepas membuat larian bijak, lapan minit kemudian.
Akibat terlalu leka memburu gol penyamaan, gawang negara sekali lagi dihukum dengan dua lagi gol, dihasilkan ketika perlawanan menuju di penghujung separuh masa pertama.
Kim Jung Min, yang diberi ruang untuk menyempurnakan gerakan dari sebelah kiri, menewaskan penjaga gol negara, Azri Abdul Ghani, pada minit ke-38.
Sepakan penalti dalam masa tambahan babak pertama menerusi Cho Young Wook meletakkan Korea Selatan pada kedudukan selesa 3-0.
Korea dilihat sudah berpuas hati dengan kedudukan itu walaupun sedikitpun tidak mengendurkan serangan pada separuh kedua, meletakkan Malaysia dalam tekanan untuk mencari jaringan pertama.
Penguasaan penuh yang ditunjukkan Korea nyata membuktikan mereka sebuah pasukan yang berbeza. Mereka selesa bermain hantaran pendek di depan gawang Malaysia membuatkan pelawat bertungkus lumus menyelamatkan keadaan.
Kekalahan ini menyebabkan Malaysia yang menepati sasarannya berada di tempat kedua gagal mendapat kelayakan automatik ke pusingan akhir kejohanan itu di Indonesia pada tahun depan.
Ini bermakna Malaysia harus menunggu keputusan penuh perlawanan kumpulan lain bagi mengetahui kedudukan rasmi tempat kedua terbaik. Skuad negara mengumpul tiga kemenangan, menewaskan Timor-Leste 3-1, Brunei 1-0 dan Indonesia 4-1.