Skuad bawah 19 tahun negara dibawah bimbingan Bojan Hodak cemas sebelum meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Brunei dalam perlawanan kedua kelayakan AFC B-19 di Paju, Korea Selatan, sebentar tadi.
Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut selepas mereka menundukkan Timor Leste 3-1 pada perlawanan pertama, Selasa lalu dengan jumlah mata setakat ini ialah 6 mata.
Malaysia memulakan perlawanan tanpa kelibat 3 tonggak utama seperti Hadi Fayyad, Akhyar Rasid dan Akif Fikran.
Namun begitu, percaturan Bojan menurunkan skuad kedua hampir memakan diri apabila Malaysia gagal memecahkan kebuntuan jaringan sepanjang babak pertama biarpun deretan percubaan dilakukan.
Malah, Brunei yang lebih banyak bertahan mendapat peluang terbaik untuk berada di depan pada minit ke-40, namun Malaysia bernasib baik apabila rempatan Mohammad Hanif Aiman tidak menepati sasaran ketika dia hanya berdepan dengan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.
Malaysia terus mendominasi permainan di babak kedua dan Shafizi Iqmal Khiruddin hampir meledak gol pertama negara pada minit ke-57 tetapi percubaannya dari luar kotak penalti dinafikan penjaga gol, Abdul Mutalib Awang.
Terdesak untuk mencari gol pertama, Bojan melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan dua tonggak utama Hadi Fayyad dan Akhyar Rasid bagi memperkuatkan jentera serangan dan memburu kemenangan penting.
Usaha itu tampak berhasil apabila skuad negara akhirnya berjaya mendapatkan jaringan yang dicari menerusi percubaan Zafuan Azeman pada minit ke-75 yang terkena pertahanan lawan sebelum menerjah gawang dan jaringan tunggal itu kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dan berada di kedudukan kedua Kumpulan F.
Indonesia yang turut mengumpul enam mata mendahului kumpulan dengan kelebihan perbezaan gol dan kedudukan itu mungkin berubah sekiranya mereka tewas kepada tuan rumah Korea Selatan pada perlawanan petang ini.
Lawan skuad negara seterusnya adalah Indonesia pada Isnin ini disusuli pertemuan terakhir dengan Korea Selatan, dua hari kemudian.