Esok skuad Malaysia B-23 akan memulakan kempen kelayakan AFC B-23 apabila dijadualkan menentang Filipina pada aksi pertama kumpulan J di Stadium Shah Alam.
Walaupun China dianggap sebagai pasukan pilihan namun pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya mengambil mudah pada cabaran Filipina dan Laos berdasarkan kekalahan skuad senior kepada Singapore semalam.
“Ia satu kekecewaan (kekalahan Harimau Malaya). Kami pula sudah lakukan persiapan dan hari demi hari pemain semakin baik. Tetapi kami tidak boleh ambil mudah kerana kita tahu Filipina dan Laos ada peningkatan.
“Sudah pasti China adalah pasukan pilihan tetapi kami perlu hadapi saingan ini satu demi satu perlawanan. Namun tiada guna untuk kami fikirkan tentang China dan sekarang kami perlu dapatkan mata maksimum dalam dua perlawanan awal,” katanya dalam Berita Harian.
Selepas menentang Filipina, skuad B-23 negara akan menentang Laos pada 24 Mac sebelum membuat penghitungan dengan skuad kendalian Guud Hiddink pada 26 Mac. Kesemuanya perlawanan ini berlangsung pada pukul 8.45 malam di Stadium Shah Alam.
Juara setiap kumpulan layak automatik ke pusingan akhir yang bakal dilangsungkan di Bangkok, Thailand dan lima lagi naib juara terbaik bakal melengkapkan 16 pasukan bertanding.
Ketika China dilihat sebagai pilihan untuk menjuarai saingan kumpulan, Kim Swee tidak terlalu memikirkan soal jaringan besar untuk memburu slot lima naib juara terbaik.
“Apa yang penting sekarang kita cuba dapatkan kemenangan. Sudah tentu jumlah jaringan turut memainkan peranan tetapi yang mustahak sekarang kita perlu dapatkan tiga mata.
“Penyokong akan hadir dan kita begitu memerlukan sokongan mereka kerana ia boleh menaikkan motivasi pemain,” katanya.