Skuad negara tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan sulung dalam aksi pembukaan saingan kumpulan J Kelayakan AFC B-23 2020 selepas menundukkan Filipina 3-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri serta dibarisi beberapa pemain skuad senior seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan Syameer Kutty Abba jelas menjadi nilai tambah buat skuad negara.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan corak permainan skuad negara berada di kelas yang berbeza berbanding Filipina.
Separuh masa pertama
Kegarangan skuad negara jelas terserlah sebaik sahaja perlawanan dimulakan apabila Muhammad Akhyar Rashid meledakkan rembatan ke arah pintu gol Filipina pada minit pertama.
Rembatan padu Akhyar dari luar kawasan penalti hasil umpanan Hadi Fayyadh Abdul Razak itu bagaimanapun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Micheal Asong.
Peluang kedua dimiliki berselang tiga minit kemudian digunakan sepenuhnya oleh Akhyar bagi membuka tirai jaringan.
Berpunca daripada gerakan dimulakan Safawi Rasid di sebelah kiri pintu gol Filipina, Syahmi Safari melorongkan bola dalam kawasan penalti bagi memberikan peluang buat Akhyar Rashid melepaskan rembatan yang berjaya menewaskan Asong.
Safawi terlepas dua peluang terbaik dimiliki apabila sekadar melepaskan rembatan lemah dalam situasi sepakan percuma di hadapan pintu gol pasukan pelawat.
Kapten skuad negara itu juga mensia-siakan peluang terhidang setelah merembat tersasar walaupun mendapat peluang terbaik dalam kawasan penalti pada minit ke-25.
Gerakan yang dicipta bagi membuka peluang serangan itu juga begitu menarik hasil kombinasi Safawi, Syahmi Safari dan Daniel Amier Norhisham.
Penguasaan total di babak pertama ditampilkan anak buah Datuk Ong Kim Swee berterusan dengan serangan dari sebelah kanan yang dimulakan R. Dinesh.
Namun, tolakan dibuat Hadi Fayyadh dengan mudah ditangkap Asong.
Akhyar menambah jaringan kedua buat skuad B-23 negara setelah kuisan mudah pada minit ke-31 memerangkap Asong bagi terus menggembirakan kem Malaysia.
Satu-satunya peluang Filipina hadir pada minit ke-37 menerusi Jordan Jarvis tetapi percubaan dalam kawasan penalti walaupun tidak ditekan pertahanan negara hanya melewati palang gol.
Skuad negara memiliki deretan peluang bagi menambah jaringan pada babak pertama tetapi dikecewakan dengan penyudah kurang berkesan.
Ia bermula dengan tandukan Hadi Fayyadh hasil sepakan penjuru R. Dinesh berjaya diselamatkan di atas garisan oleh Asong pada minit ke-42.
Seminit kemudian, Safawi hampir mencetak jaringan cantik setelah sepakan penjuru yang diambil di sebelah kiri pintu gol lawan terkena tiang gol.
Selepas itu giliran Akhyar pula membuka peluang selepas gerakan solo dilakukan berjaya memasuki kawasan penalti lawan.
Bagaimana, rembatan diledakkan Akhyar ditangkap kemas Micheal Asong di minit ke-44.
Hadi Fayyadh terus kecewa apabila beliau gagal menyempurnakan peluang keemasan walaupun hanya berhadapan dengan Asong.
Separuh masa kedua
Dominasi skuad B-23 negara berterusan selepas aksi kembali bersambung dengan gerakan-gerakan kemas yang cuba dilancarkan.
Perlawanan ini jelas bukan malam yang indah buat Hadi Fayyadh apabila beliau sekali lagi terlepas peluang terbaik.
Bermula daripada hantaran lintang oleh Syahmi Safari yang gagal ditangkap kemas Micheal Asong, Hadi yang berada di hadapan gol sekadar melakukan percubaan tersasar.
Keadaan tersebut memaksa Datuk Ong Kim Swee menggantikan penyerang yang beraksi di Jepun itu dengan Nik Azli Nik Alias.
Nik Azli juga mengalami nasib serupa seperti Hadi selepas beliau mendada bola hasil hantaran lintang Safawi yang sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Filipina beberapa minit selepas dimasukkan.
Haziq Nadzli yang lebih banyak berehat pada perlawanan ini akhirnya menerima serangan tepat kearah gol pertama pada minit ke-66 selepas berjaya menepis keluar rembatan melencong dilakukan Jeremiah Barlongan.
Malaysia terus bernafsu memburu jaringan dengan mencipta dua peluang dalam tempoh dua minit apabila Faisal Abdul Halim melepaskan rembatan jarak dekat yang singgah di palang gol.
Selepas itu Safawi Rasid pula melakukan percubaan melencong yang ditepis keluar Micheal Asong bagi memberikan sepakan penjuru buat skuad negara.
Faisal menebus kehampaannya pada minit ke-83 dengan menjaringkan gol ketiga selepas beliau dengan lincah berjaya melepasi kawalan Asong dan William Grierson.
Keputusan 3-0 kekal hingga tamat permainan untuk memberikan tiga mata penuh pada perlawanan sulung buat skuad B-23 negara.
Kredit foto: FAM