Quantcast

BERITA

Kelayakan AFC B-23: Himpunan Pesta Jaringan Serikan Aksi Pembukaan

Pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 kali ini amat meriah dan luar biasa. Mana tidaknya, ia merupakan laluan penting untuk meraih slot ke Sukan Olimpik di Jepun tahun hadapan.

Ketika skuad negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee bermula dengan kemenangan 3-0 menewaskan FIlipina serta keupayaan China menewaskan Laos dengan keputusan 5-0, terdapat beberapa pesta jaringan terhasil pada aksi pembukaan.

Vietnam 6-0 Brunei

Vietnam beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri. Sumber: Vietnamnews.vn

Vietnam menewaskan Brunei dengan 6 gol tanpa balas. Kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pembukaan Kumpulan K.

3 gol pertama hadir daripada separuh masa pertama. Gol tersebut dijaringkan oleh Ha Duc Chinh, Nguyễn Thành Chung dan Đinh Thanh Bình

Baki 3 gol dijaringkan semasa separuh masa kedua. Triệu Việt Hưng menyumbat gol keempat untuk Vietnam.

Kemudiannya, Huyunh Tan Sinh dan Nguyễn Quang Hải masing-masing telah menjaringkan gol melalui sepakan penalti yang disempurnakan pada minit ke-77 dan 90+2.

Satu lagi aksi di Vietnam menyaksikan Thailand menang bergaya 4-0 keatas Indonesia hasil dua gol Supachai Jaided manakala Shinnaphat Leeaoh dan Supachok Sarachat menambah dua lagi jaringan.

Australia selesa

Pemain Australia meraikan kejayaan mereka. Sumber: AFC.

Satu lagi wakil Asia Tenggara, Kemboja dimalukan di hadapan ribuan penyokong sendiri. Kemboja yang menjadi tuan rumah aksi Kumpulan H telah ditewaskan oleh Australia.

Joseph Champness menjaringkan dua gol untuk kemenangan selesa Australia. Aiden O’Neill, Riley McGree, Brandon Wilson dan Pierce Waring turut menyumbangkan satu gol setiap seorang.

Keputusan berkesudahan dengan keputusan Australia menang 6-0 ke atas Kemboja. Dalam aksi lain Kumpulan H, Chinese Taipei dikalahkan Korea Selatan dengan skor 8-0.

Palestin tewaskan Sri Lanka

Palestin memang hebat! Sumber: AFC.

Aksi pembuka tirai Kumpulan B juga mempunyai keputusan luar dugaan apabila Palestin berpesta jaringan membelasah Sri Lanka 9-0.

Pemain Palestin, Yousef Emghamis menjaringkan dua gol manakala 7 pemain lain juga masing-masing telah menjadi penyumbang gol untuk Palestin.

Pemain tersebut ialah Mahmoud Aliwisat, Oday Dabbagh, Dawoud Iraqi, Mahmoud Salma dan Saadou Abdelsalam.

Hanya Mousa Farawi dan Raed Dahla yang mencetak gol melalui sepakan penalti bagi membantu Palestin meraih kemenangan beharga itu.

Palestin kini mendahului carta Kumpulan B, hanya berkelebihan di hadapan Bahrain dengan bilangan gol dijaringkan. Bahrain tewaskan Bangladesh melalui gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh Mohammed al-Hardan.

Lagi aksi pesta jaringan

Antara aksi yang turut disajikan dengan jaringan besar adalah di Myanmar hasil kemenangan 8-0 Jepun membelasah Macau manakala Myanmar pula menang 7-0 keatas Timor Leste dalam saingan kumpulan I.

Di Arab Saudi dalam saingan kumpulan D, tuan rumah mencatatkan kemenangan 6-0 ketika bertemu Maldives dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menang 6-1 keatas Lebanon.

Aksi dalam kumpulan C juga tidak kurang hebatnya apabila Iraq berjaya menewaskan Yemen 5-0 di Iran.