Biarpun baru sahaja melangkah ke Liga Premier buat kali pertama pada musim ini, Kelantan United sudah mula meletakkan cita-cita untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super pada 2021.
Presiden Kelantan United, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dalam kenyataannya kepada Bernama melahirkan keyakinan tersebut kerana menurutnya sejak awal penubuhan pasukan itu, peluang untuk beraksi di saingan liga elit tersebut telah menjadi sasaran utama.
Namun demikian, beliau percaya untuk menjadikannya satu realiti bukanlah satu tugas yang mudah kerana skuad Kijang Hijau itu perlu berdepan dengan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman dalam kempen sulung mereka di Liga Premier.
“Musim lalu kami telah mencapai sasaran untuk melayakkan diri ke saingan Liga Premier dan tahun ini kami sasar untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan.
Kelantan United Tak Terdesak Dapatkan Pemain Bintang https://t.co/LnDUR0Htu9 pic.twitter.com/YJC12EdUq9
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 23, 2020
“Kami satu pasukan baharu yang sederhana namun mempunyai semangat yang tinggi untuk membawa harapan peminat bola sepak negeri Kelantan dan nama negeri ini di pentas bola sepak negara,” katanya.
Tambah Che Abdullah lagi, jika sasaran itu tidak tercapai, beliau tidak akan menganggap ianya satu kegagalan kerana seandainya Kelantan United dapat menamatkan saingan di kedudukan lima pasukan terbaik, ianya sudah memadai.
Kelantan United dilihat telah mula ‘memanaskan badan’ dengan mengadakan majlis Pelancaran Liga Elit DUN (Dewan Undangan Negeri) serta memperkenalkan pemain dan Jersi KUFC 2020 di Stadium Sultan Muhammad lV yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob pada Jumaat.
Tiga warna jersi rasmi telah diperkenalkan dengan warna merah dipilih sebagai jersi utama di tempat sendiri, warna hitam sebagai jersi kedua dan putih jersi ketiga.
RASMI: Kelantan United Football Club (KUFC) telah melancarkan jersi utama, jersi tempat lawan dan jersi ketiga mereka sebentar tadi.
KUFC akan beraksi dalam Liga Premier Malaysia 2020 selepas bergelar juara Liga M3 musim lalu. pic.twitter.com/nWcMx2s0UJ
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 14, 2020
Ketua Jurulatih, Zahasmi Ismail yang telah membimbing pasukan itu menjuarai saingan Liga M3 pada musim lepas terus diberi kepercayaan untuk membentuk pasukan yang lebih mantap bagi mencapai sasaran.
Kelantan United akan membuka tirai liga dengan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada 1 Mac ini.
Kredit Foto: Kelantan United