Meskipun badan pengendali Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) telah mengenakan syarat ketat ke atas pasukan Kelantan ekoran masalah tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetap berkeras menggunakan khidmat pemain import bagi menghadapi musim baharu saingan Liga Malaysia.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan dalam Utusan Malaysia, pihaknya sedang mencari beberapa calon pemain import untuk memperkuatkan pasukan itu selepas berjaya menandatangani pemain dari Jepun, Yuta Suzuki.
Menurutnya, kesemua calon pemain import akan diuji pada aksi persahabatan yang telah dirangka sebelum dipilih untuk membarisi kesebelasan utama pasukan tersebut. Skuad Kelantan akan bertemu naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad VI pada malam esok.
“Aksi persahabatan itu juga akan menjadi medan untuk menguji persiapan pasukan menjelang sepak mula Liga Perdana 2019,” katanya.
Difahamkan KAFA masih mempunyai hutang lama berjumlah lebih RM500,000 membabitkan bekas pengarah tenikal Alfredo Gonzalez (RM225,940) dan Dramane Traore (RM332,000).
Kemasukan Yuta Suzuki adalah hasil daripada tajaan syarikat pengeluar minuman pribiotik Yakult (M) Sdn. Bhd dan MFL membenarkan pemain itu didaftarkan.
Piya kecewa KAFA masih membisu mengenai tunggakan gajinya
Sementara itu, bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi atau Piya mahu kecewa dengan sikap KAFA yang terus membisu mengenai tunggakan gajinya dan menyifatkannya sebagai satu bentuk ‘penderaan’.
“Saya akui sedikit tertekan setiap kali memikirkan masalah ini (gaji). Ini kerana bola sepak merupakan kerjaya utama saya untuk menyara keluarga.
“Saya ada tanggungjawab yang perlu dijalankan. Jadi Kafa pun samalah, jalankanlah tanggungjawab dengan melunaskan bayaran tunggakan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Piya, Kelantan turut berdepan tuntutan gaji dari pemain pertahanan tinggi lampai, Amiridzwan Taj Tajuddin. Piya dan Amiridzwan kini berhijrah ke utara menyertai pasukan Perlis .