Menjelang aksi sepak mula saingan Liga Super petang ini membabitkan pertemuan antara Kelantan menentang Kuching City pada petang ini, dijangka ribuan penyokong akan hadir untuk memberi sokongan buat pasukan masing-masing.
Disebabkan itu, pemilik Kelantan iaitu Norizam Bin Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham telah pun mengeluarkan satu peraturan baharu kepada penyokong yang akan hadir di Stadium Sultan Muhammad IV untuk mengelakkan sebarang masalah berlaku.
Zamsaham telah pun mengeluarkan satu kenyataan dengan mengharamkan permainan Lato-Lato daripada dibawa masuk para penyokong di stadium pada musim ini.
Kenyataan tersebut telah pun dikeluarkan menerusi Facebook beliau sebentar tadi dengan menyatakan permainan tersebut tidak akan dibenarkan berada di stadium dan kemungkinan besar akan dirampas.
“LATO-LATO diharamkan masuk stadium untuk perlawanan petang ini,” jelas Zamsaham menerusi Facebook milik beliau sebentar tadi.
Untuk rekod, Kelantan merupakan pasukan pertama yang mengharamkan permainan Lato-Lato untuk memasuki stadium dan ianya dilihat sebagai sesuatu sangat wajar.
Keputusan tersebut jelas mendapat reaksi positif dalam kalangan penyokong yang menganggap permainan tersebut akan mengganggu persekitaran dengan bunyi bising di stadium.
“1 malaysia termasuk sabah dan serawak patot haramkan bunyi lato lato nie sebab bunyi dia annoying gila menyirap dengar,” Rasul Rahim.
“ore g nk tgk bola.. bukey nk tanding lato lato…bunyi por ore duk ngepok..,” komen daripada Abu Musolly Ibnu Hassan yang turut menyokong peraturan tersebut.
Selain pencemaran bunyi yang dibawa oleh Lato-Lato, permainan tersebut juga dianggap berbahaya dan mampu mencederakan orang lain yang berada di sekeliling stadium.
“Bijok boh zamm ..serabuk molek ngae gotu gak .xkeno caro singgoh di palo .nayoooo,” sokong Zulkarnain Zakaria di ruangan komen Facebook Zamsaham.
Sebenarnya, isu pengharaman Lato-Lato ini sudah pun bermula sejak aksi pramusim Piala Harapan yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Ketika itu, ada segelintir penyokong yang membawa permainan tersebut di stadium dan suatu pengumuman terpaksa dibuat pihak bertanggungjawab untuk tidak menbenarkan ianya dimainkan.
Perkara ini telah pun diulas oleh salah seorang penyokong Penang sebelum itu di Twitter yang jelas tidak selesa dengan bunyi dikeluarkan oleh permainan tersebut ketika berada di stadium berkenaan.
Bayangkanlah. Semalam dekat Stadium Batu Kawan pun ada budak dok main natang tu.
Bising nakram. Orang tengok bola pun jadi potong sebab dengaq natang bodoh ni. https://t.co/yKXTBRE2FT
— Syazwan (@WanAlias_) February 5, 2023
“Bayangkanlah. Semalam dekat Stadium Batu Kawan pun ada budak dok main natang tu. Bising nakram. Orang tengok bola pun jadi potong sebab dengaq natang bodoh ni,” luah Syazwan di Twitter.
Diharapkan juga kelab-kelab lain turut mengharamkan permainan tersebut daripada dibawa penyokong musim ini kerana ia jelas lebih membawa kemudaratan serta tiada sebarang faedah untuk bola sepak negara.